Calon BN Harap Bantuan Kepada Pemandu Teksi Perlu Diteruskan

KUALA TERENGGANU, 7 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali, akan terus membela nasib pemandu teksi yang kian terhimpit dengan masalah punca pendapatan.

Katanya, bantuan yang dimulakan sejak melanda COVID-19 dua tahun lalu itu perlu diteruskan bagi membantu nasib mereka.

“Saya akan perjuangkan nasib pemandu teksi terutama mereka yang meraih punca pendapatan di bawah paras minimum untuk dikategorikan peneriman bantuan bulanan daripada kerajaan.

“Kita akan teliti mekanisme bantuan itu contohnya di bawah sektor pelancongan, dan seperti yang diterima nelayan, mereka ada peruntukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Apa yang penting kita mengajak rakyat untuk bersama dan BN sebagai parti berpengalaman luas mentadbir negara akan beri yang terbaik demi kestabilan dan kemakmuran,” katanya.

Menurut Mohd. Khairuddin, penyaluran bantuan kelak bukan sahaja akan diberikan kepada 55 pemandu teksi di lapangan terbang terbabit, bahkan turut memanfaatkan pemandu di lokasi lain.

“Walaupun mereka cuma kelompok kecil, saya yakin idea ini boleh meringankan beban golongan pemandu teksi di tempat lain juga.

“Di Terengganu amnya, penutupan pulau-pulau telah mengurangkan jumlah penumpang di LTSM sekaligus menjejaskan punca pendapatan pemandu teksi di sini,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit