PRU15: Isham Tekad Selesaikan Masalah Belenggu Shah Alam

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Calon UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi kerusi parlimen Shah Alam, Hizatul Isham Abdul Jalil bertekad untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang membelenggu rakyat di kawasan tersebut sekiranya diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat.

Jelasnya, untuk mendapat tempat sebagai Ahli Parlimen Shah Alam, beliau akan mengamalkan pendekatan politik positif dan khidmat tanpa menerapkan sebarang sikap negativiti terhadap pihak lawan.

“Dalam usaha untuk mendapat tempat di Shah Alam, saya akan mengamalkan politik positif dan politik khidmat. Seperti yang kita sedia maklum, di Shah Alam ini kerajaan negerinya adalah kerajaan Pakatan Harapan (PH). Justeru, saya berhasrat untuk menukar dasar dan melaksanakan segala perkara yang mereka tidak jalankan.

“Sekiranya mereka memberikan kepada saya peluang untuk menjadi seorang Ahli Parlimen, kita boleh bantu untuk buat check and balance. Sebagai contoh, sekiranya rakyat di kawasan tersebut meminta bantuan dan kerajaan PH tak bantu, maka saya akan bantu,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, selama tiga penggal Selangor ditadbir oleh PH banyak perkara yang tidak dilaksanakan oleh mereka termasuklah dari segi perumahan, pekerjaan dan juga keperluan asas.

“Banyak perkara yang selama tiga penggal ini kerajaan PH tak laksanakan. Seperti masalah harga rumah yang mahal di Shah Alam mahupun Selangor. Saya difahamkan bahawa sudah lama tiada projek pembinaan rumah kos rendah.

“Dari segi masalah peluang pekerjaan, ramai pekerja industri Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) terpaksa dibuang kerja akibat musim COVID dahulu. Pada kali ini, kita perlu bantu pemain industri PKS di Shah Alam ini.

“…dan masalah asas seperti banjir dan air. Saya pernah bawa isu air ini sampai kena saman. Saya pergi ke Mahkamah Tinggi dan menang. Kerajaan negeri Selangor kata mereka mahukan negeri yang maju tetapi kalau masalah air pun tak boleh selesai bagaimana?” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berjanji untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku serta mengekalkan integriti beliau untuk menolak gejala rasuah.

“Saya akan jaga integriti saya sebaik mungkin kerana selama 20 tahun saya bekerja dalam sektor kerajaan, saya tidak mempunyai sebarang rekod rasuah. Maka, saya akan teruskan perkara ini. Itu janji saya.

“Jadi, saya akan cuba yang terbaik untuk menyelesaikan segala masalah tersebut. Saya akan bawa tawaran saya buat rakyat Shah Alam tanpa melakukan sebarang kempen yang negatif ataupun serangan peribadi terhadap calon lain.

“Saya berharap agar rakyat Shah Alam akan memberikan peluang kepada saya. Saya berjanji bahawa saya akan memberikan komitmen sepenuhnya dan bekerja tanpa mengira siang atau malam.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Shah Alam telah disandang oleh ahli politik dari PAN, Khalid Samad selama 18 tahun sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11. Namun, nama beliau telah digugurkan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.