Syed Saddiq Guna Ibu Bapa Tutup Salah Laku… Laporan Polis Palsu Juga Kes Jenayah
KUALA LUMPUR, 1 Nov – Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri mempersoalkan tindakan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dikatakan telah mempergunakan ibu dan ayahnya bagi menutup salah lakunya melibatkan kes mahkamahnya baru-baru ini.
Jelasnya, sekiranya Syed Saddiq mengakui perkara tersebut untuk berbohong kepada rakyat dan membuat laporan polis palsu, maka perkara tersebut juga jatuh dalam kes jenayah.
“Saya tiada niat untuk mempersoalkan atau memberi pendapat peribadi yang lebih lanjut berhubung kes mahkamah jenayah Syed Saddiq melibatkan penyelewengan dana sebanyak RM1.1 juta yang masih dalam perbicaraan biarpun kes prima facie sudah terbukti terhadapnya dan dia telah diarahkan untuk membela diri.
“Tapi, saya nak tanya sekiranya Syed Saddiq mengaku bahawa dia telah mempergunakan ibu dan ayahnya untuk berbohong kepada rakyat dan membuat laporan polis palsu bagi tujuan menutup salah laku jenayahnya.
“…dan sekiranya mengaku, adakah Syed Saddiq sudah meminta maaf kepada ibu bapanya sebab telah memperalatkan dan membahayakan mereka? Perlu ingat bahawa membuat laporan polis palsu juga adalah kes jenayah,” soalnya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah itu turut menyingkap kembali kronologi di sebalik kes mahkamah Presiden Muda itu.
“Pada bulan Mac 2020, Syed Saddiq pernah mengeluarkan kenyataan bahawa wang tunai sebanyak RM250,000 yang lesap dari kediamannya adalah milik dia dan ibu bapa bagi tujuan renovasi rumah dan bukan milik partinya.
“Syed Saddiq juga berkata dia dan ibu bapanya turut membuat laporan polis tentang ‘kehilangan’ dana tersebut. Namun pendedahan oleh saksi dalam perbicaraan mahkamah kes jenayah dia pada Jun 2022 mengatakan sebaliknya,” katanya lagi.
Jelasnya, saksi tersebut mengaku bahawa dana tersebut memang milik parti dan telah berbincang bersama rakan bagi mencipta alasan sebaliknya.
“Mereka mengatakan bahawa dana tersebut adalah milik partinya dan dia bersama beberapa rakan telah berbincang dalam group ‘WhatsApp’ untuk mencipta alasan bahawa wang tersebut adalah milik ibu, ayah dan dia sendiri.
“Pihak polis juga memberi tahu mahkamah bahawa mereka disyaki telah bersubahat dengan dua lagi rakannya berhubung kehilangan RM250,00 setelah siasatan dijalankan pihak polis.
“Tidak lama kemudian, seorang lagi kenalan Syed Saddiq telah diberi beg berisi wang tunai sebanyak RM250,000 yang dia simpan bawah katil,” katanya lagi.
Pada minggu lalu media melaporkan bahawa Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diperintahkan untuk membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tersebut. – UMNO Online