PRU15: Waspada Strategi Dap Kaburi Orang Melayu, Bumiputera – Razlan
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii menjelaskan sebenarnya strategi Dap adalah memikat dan mendapat sokongan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ini.
Jelas beliau, banyak kawasan-kawasan majoriti Cina sebenarnya akan diberikan kepada calon orang Melayu untuk memperlihatkan kononnya Dap ini memperjuangkan orang-orang Melayu.
Katanya, produk-produk yang dipamerkan oleh Dap ini kononnya hendak memperjuangkan Melayu tapi asas perjuangan jauh dan lari daripada membela bangsa ini.
“Strategi Dap memang begitu sebab mereka akan calon orang Melayu untuk mengaburi niat asal dan akhirnya apabila mendapat kuasa akan memastikan semua nilai-nilai bagi orang Melayu/Islam ini terus menjunam ke bawah dan akan hilang satu persatu termasuklah aset orang Islam dan Bumiputera.
“Dap mempamerkan orang Melayu sebagai calon pilihan raya dan lihat berapa peratuskah? Mereka hanya mahukan sokongan Melayu namun akhirnya menjahanamkan Melayu ke tahap yang bahaya apabila Dap dapat kuasa.
“Ini telah terbukti apabila Dap mendapat kuasa semasa rakyat memberikan mandat kepada mereka. Ada banyak perkara-perkara yang dah tiada tanpa kita sedar dan sebenarnya banyak nilai-nilai Perlembagaan negara juga telah hilang dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Razlan berkata demikian pada program Berani Benar: Siapa Pengkhianat Bangsa? yang disiarkan secara langsung di Facebook Hello Malaysia, malam tadi.
Tambah Razlan, kuasa begitu bermakna bagi Barisan Nasional (BN) kerana ianya dapat menyelamatkan negara ini menjadi kucar-kacir demi kelangsungan pentadbiran negara yang telah dihancurkan oleh PH.
“Kuasa ini amat penting… apabila BN dapat kuasa, ia akan gunakan untuk perlembagaan negara. Dalam perlembagaan negara menyatakan ada hak untuk Bumiputera dan Islam.
“Sepanjang Dap/PH memerintah polisi yang dibuatnya adalah berdasarkan kepada orang yang perlu dibantu dan tidak boleh bergantung harap dengan Dap/PH untuk membela bangsa dan agama,” jelasnya lagi.
“Sampai kini Dap tidak pernah mengubah Perlembagaan sendiri dan tidak mengagungkan perlembagaan negara, tidak menceritakan serta mengagungkan Islam, dan sistem beraja, ujarnya.
Dalam pada itu beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh menempelak Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menghasut rakyat menyatakan UMNO hanya membantu orang-orang Melayu dan tidak membantu Bumiputera.
“Salah ke kalau kita cakap yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO. Salah ke UMNO menjamin hak Bumipuetra dan Melayu? Salah ke bahawa negara ini adalah negara Islam dan mempertahankan perkara-perkara ini… salah ke… tak salah kan?
“Salah ke UMNO/BN memperjuangkan perkara itu. Kita ada ramai orang-orang India dan Cina dibantu dan tidak ada masalah tetapi janganlah ‘arlegik’ apabila BN hendak membantu orang Islam dan Bumiputera.
“BN bantu semua orang yang memerlukan sama ada B40 ataupun miskin tegar dan tak kira bangsa bantu cuma tak nak mereka menghilangkan identiti orang Melayu dan Bumiputera… itu sebenarnya,” jelasnya lagi.
Tegasnya, stigma yang dibuat oleh Rafizi ini adalah sama dengan perkara yang diperjuangkan oleh Dap iaitu sama rata. Pemerintahan mereka membuatkan negara ini ‘arlegik’ kepada memperjuangkan orang Melayu dan Bumiputra… ini adalah amat bahaya. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan