‘Kestabilan Dan Kemakmuran’ Bukan Populisme Politik, Lihat Kejayaan Melaka Dan Johor Ditadbir BN

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tema ‘kestabilan dan kemakmuran’ yang dibawa Barisan Nasional (BN) bukan bersifat mitos, rekaan atau populisme politik.

Katanya, ini kerana ianya telah terbukti di Melaka dan Johor apabila mencatatkan perkembangan ekonomi yang begitu memberansangkan selepas pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRN) apabila kedua-dua negeri berjaya membentuk kerajaan negeri stabil di bawah pentadbiran BN.

“Telah terbukti di Melaka selepas PRN dilangsungkan pada November 2021 dan sekali lagi terbukti benar di Johor setelah BN kembali mendominasi pentadbiran negeri itu pada Mac 2022.

“Malaysia menyaksikan Johor selepas kembali sepenuhnya kepada BN mencatatkan pelaburan paling tinggi dalam negara, sebanyak RM60.9 bilion sekali gus menjadi pelaburan tertinggi pernah dicatatkan negeri itu berbanding RM24.5 bilion pada 2019.

“Melaka selepas negeri itu kembali didominasi kerajaan BN berada di kedudukan kelima dalam pelaburan bagi sektor pembuatan. Pelaburan yang telah mewujudkan begitu banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi BN itu lagi, ekonomi di negeri itu juga berkembang positif dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan 2.9 peratus setakat Mac lalu manakala kadar pengangguran mencatatkan kedudukan kedua terendah membuktikan pentadbiran kerajaannya.

Malah katanya, Pahang yang ditadbir di bawah BN juga berjaya mengurangkan hutang kerajaaan negeri daripada RM3 bilion kepada RM950 juta serta kejayaan-kejayaan dicatatkan di negeri lain ditadbir BN sebagai kerajaan.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata pada ketika ini majoriti rakyat merindui BN untuk kembali dominan sebagai kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Rakyat rindukan BN untuk dominan semula selepas kesengsaraan mereka tempuhi selama 39 bulan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH)/Perikatan Nasional (PN), justeru bersama kita menginsafi kekhilafan yang terjadi pada PRU14 angkara pembohongan, fitnah dan janji palsu.

“Pastikan BN dan rakyat berpisah tiada seiring sejalan dalam mengembalikan ‘kestabilan dan kemakmuran’ untuk semua… insya-Allah kesinambungan dapat diteruskan dengan manifesto PRU15 BN yang realistik serta berkesan bakal ditawarkan.

“Harapan rakyat ini perlu dipenuhi oleh seluruh jentera BN dengan berusaha kuat memenangkan BN pada 19 Nov nanti… kepada Allah S.W.T jua kita memohon bantuan dan pertolongan selepas segala daya upaya,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.