UMNO/BN Punya Magis Tersendiri, Dukungan Akar Umbi Bentuk Pemimpin Negara

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpandangan UMNO/Barisan Nasional (BN) mempunyai kekuatan tersendiri dalam membentuk personaliti pemimpin seperti yang dilihat berlandaskan pencapaian tokoh-tokoh negara sebelum ini.

Katanya ini kerana, tidak seperti parti lain UMNO/BN punya kelebihan kerana mendapat dukungan daripada ahli parti sehingga ke akar umbi dalam melaksanakan apa-apa jua dasar-dasar kerajaan yang membawa manfaat kepada rakyat.

“Kekuatan yang ada pada BN adalah pada partinya, ada magis tersendiri boleh memberikan kekuatan kepada sesiapa sahaja.

“Anda perlukan kekuatan parti dan sehingga sekarang yang ada kekuatan dari segi akar umbinya, ada di setiap pelosok adalah UMNO/BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program FB Live yang disiarkan UMNO Online dalam segmen Berani Benar: Menakhoda Zaman pada Rabu.

Ahmad Shabery yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman mengambil contoh bekas Perdana Menteri sebelum ini iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memperoleh kekuatan mengemudi negara berlandaskan dukungan daripada akar umbi parti.

Katanya, kedua-dua tokoh tersebut memanfaatkan kesepakatan dalam UMNO/BN bagi memastikan agenda aspirasi mereka kepada rakyat yang dirangka difahami akar umbi agar ianya mendapat dukungan untuk dijayakan.

“Kita kena ingat waktu Tun Mahathir dahulu hendak buat Putrajaya panggil Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas, nak cerita keperluan diwujudkan (Putrajaya)… nak panggil Bill Gates hendak buat Multimedia Super Corridor (MSC), panggil juga PAU Khas hendak parti sokong.

“Sama juga seperti pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kita panggil parti dahulu.

“Begitu juga Tun Abdullah, beliau mengendalikan negara sewaktu dunia menghadapi krisis makanan global pada 2008 orang ingat waktu itu cerita pertama kita dengar Jaminan Keselamatan Makanan… orang nampak beliau pada ketika itu biasa-biasa sahaja boleh kendalikan krisis kerana pada ketika itu ada parti yang menyokong,” ujar beliau.

Jelas Ahmad Shabery lagi, UMNO/BN membuktikan perkara tersebut kerana pada masa kini calon-calon Perdana Menteri yang dinamakan oleh parti-parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga adalah berasal daripada DNA parti keramat ini.

“Parti-parti yang bersandarkan kepada dua, tiga individu tertentu atau parti yang bersandarkan pada kekuatan partinya dan saya sebutkan sehingga sekarang tidak ada orang yang boleh dikatakan layak menjadi Perdana Menteri kalau tidak melalui DNA UMNO… sehingga sekarang belum ada lagi.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Mahathir ada DNA UMNO kerana parti ini ada proses mendidik, melatih memberikan pendedahan dalam menguruskan negara dan kerajaan,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit