Jangan Salah Pilih, Mandat Rakyat Tentukan Masa Depan Negara – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang bakal berlangsung 15 Nov depan, Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan rakyat khususnya pengundi untuk membuat penilaian berikutan mandat terletak di tangan mereka.

Katanya, inilah mandat rakyat yang amat besar iaitu amanah dalam memastikan pemimpin yang bakal menerajui pentadbiran negara.

“Benar, PRU ini terbuka. Sesiapa sahaja warga Malaysia yang berkelayakan boleh mencalonkan diri untuk bertanding dalam PRU ini di mana-mana sahaja kawasan yang diingininya. Apa-apa pun parti politik yang diwakili waima tidak berparti sekalipun boleh mencalonkan diri bagi menjadi wakil rakyat sesuatu kawasan.

“Justeru, di sinilah kebijaksanaan para pengundi amat penting. Jangan salah pilih kerana natijahnya sepenggal dalam kemelut yang macam-macam,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Ujarnya, PRU inilah masa memilih setelah membuat penilaian dan penelitian berdasarkan pelbagai peristiwa yang berlaku di sekeliling malah yang dirasai oleh diri sendiri pun.

“Lantas, tolaklah mana-mana calon ‘mee segera’, tiba-tiba muncul pada saat pilihan raya sedangkan selama ini susah senang sakit perit mereka ini tak pernah pun bertanya khabar, jauh sekali nak hulur bantuan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya meminta rakyat untuk mengimbas kembali apa yang telah berlaku dalam negara.

“Kita nak melangkah ke hadapan… jadi kita tolehlah ke belakang seketika. Imbas semula apa yang berlaku selepas PRU lalu. PRU14 yang menjadikan kerajaan beralih daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH). Apa jadi ketika itu?

“BN yang lebih 61 tahun mentadbir negara tewas. BN menjadi pembangkang. PH bertahan hanya 22 bulan. Mujurlah tak sepenggal kerana PH runtuh sendiri apabila Tun Dr Mahathir letak jawatan sebagai Perdana Menteri. Kemudian diganti Perikatan Nasional (PN) yang juga banyak akibatkan negara caca marba.

“Zaman PN rakyat terkurung, Parlimen digantung dan flip flop dalam aktiviti ekonomi. Lebih teruk apabila PM dari PN tidak kisah pada bebanan rakyat sampaikan wujud kempen kibar bendera putih, kes jenayah, masalah mental dan bunuh diri yang banyak berlaku.

Soal beliau, ketika PH dan PN memerintah bagaimana pentadbirannya?

“Adakah lebih baik dari BN? Bagaimana keadaan negara dalam pentadbiran PH & PN… apa situasi ekonomi, perpaduan rakyat, pendidikan anak-anak, pekerjaan dan taraf hidup… adakah makin baik atau sebaliknya?

“Untuk PH… apa janji-janji manifestonya waktu PRU14… adakah ditunaikan? Semua persoalan tersebut perlu dijawab dengan nyata. Ya atau tidak? Lebih baik atau lebih buruk?

“Maka, jawapan itu nanti terjemahkanlah dalam kertas undi. Pilihlah yang benar-benar bersama rakyat saat menghadapi kesukaran, sewaktu diri ditekan dan dihimpit, fikirkan siapa yang menghulurkan tangan memberi bantuan … kerana ia tentunya akan terus bersama-sama berpimpin tangan untuk kestabilan dan kemajuan masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit