BN Perlu Letak Calon ‘Winnable Candidate’ Demi Rakyat, Lonjak Kemenangan Parti – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Barisan Nasional (BN) perlu konsisten dengan naratif mengembalikan maruah UMNO dan BN demi kestabilan serta kemakmuran rakyat apatah lagi rakyat sangat perlukan kestabilan politik unggul demi membantu mereka keluar daripada terhimpit dengan pelbagai masalah.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata lantaran itu BN semestinya perlu meletakkan calon ‘winnable candidate’ pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, tanpa mengira calon lama atau calon baharu dalam usaha memastikan hasrat dan matlamat tercapai.

“Pucuk pimpinan perlu fokus dan tidak boleh memperjudikan mana-mana kerusi pada PRU-15 ini dengan meletakkan calon yang separuh masak. Kita sangat memerlukan kemenangan bagi memastikan 112 kerusi dikuasai sepenuhnya oleh BN membentuk kerajaan yang ‘solid’ demi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, parti perlu memilih calon yang berkarisma, berwibawa, boleh menang, diterima serta disukai rakyat dan strategi ini hanya satu-satunya yang ada bagi mengelakkan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak selepas Keputusan PRU-15 diumumkan.

“Parti perlu konsisten dengan naratif mengembalikan maruah UMNO dan BN berpaksaikan kestabilan dan kemakmuran. Buat masa ini, rakyat sangat lesu dengan kerajaan yang lemah dan tidak stabil.

“Tanpa Barisan Nasional, rakyat akan makin dibelenggui dengan pelbagai masalah pada masa hadapan. Kita perlu buktikan kemampuan Barisan Nasional yang lebih baik dan mengembalikan keyakinan dan kepentingan rakyat serta memaju kemajuan negara dengan lebih pesat.

“Percayalah rakyat telah yakin pada BN, hanya kita sahaja yang perlu membuat keputusan siapakah wakil rakyat yang terbaik untuk mereka,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit