Wanita Majoriti Pengundi PRU15, Isyarat Hala Tuju Masa Depan Negara
KUALA LUMPUR, 22 Okt – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norshida Ibrahim berkata statistik yang menunjukkan 50.17 peratus atau 10,622,151 pengundi adalah dalam kalangan wanita memberikan isyarat tersendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata data yang diambil sehingga 9 Oktober 2022 itu juga menunjukkan bahawa pengundi wanita paling ramai direkodkan di Kedah dan Pulau Pinang.
“Kira-kira 123 Parlimen didominasi oleh pengundi wanita berbanding lelaki. Ini cukup jelas menunjukkan suara wanita merupakan suara penentu.
“Oleh kerana wanita adalah majoriti pengundi pada PRU15, kehadiran mereka hendaklah bergerak pantas mengikut arus perdana,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Jelas Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat itu lagi ianya boleh dijadikan indikator untuk mengenengahkan lebih ramai calon wanita dalam PRU15 selain mengambil kira faktor lain.
Katanya lagi, calon wanita yang bertanding juga semestinya akan membawa suara wanita meliputi kebajikan, isu diperjuang selain cabaran setempat.
“Faktor kestabilan, kematangan dan kekuatan daya juang calon Wanita terbukti dalam apa jua cabaran yang dihadapi oleh parti, wanita tetap terus setia dan sanggup berkorban untuk menstabilkan negara.
“Dalam masa yang sama harus ditingkatkan lagi kesedaran untuk mengundi di dalam pilihan raya khususnya kepada kaum wanita .
“Penerangan demi penerangan mesti diberikan kerana kesilapan di dalam memilih pemimpin akan memberi impak yang besar kepada kesejahteraan hidup,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib