PRU15: Kesiapsiagaan Pemuda BN Berada Pada Maksimum

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Persiapan Pemuda Barisan Nasional (BN) seluruh negara untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 berada pada tahap maksimum dan akan memberi tumpuan serta pendekatan yang sebaiknya dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan kelak.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pendekatan terbabit antara lain tidak jauh beza sepertimana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor khususnya pengundi automatik 18 tahun.

“Kita amat berpuas hati persiapan yang sudah pun dilakukan oleh Pemuda BN di semua 191 Parlimen yang bakal ditanding oleh calon-calon BN. Fokus utama terutamanya strategi pendekatan kita tidak jauh beza dengan apa yang kita lakukan di peringkat PRN Johor. Itu kali pertama kita berdepan undi 18 tahun automatik.

“Kita akan gerakkan semua jentera Pemuda BN di 13,205 cawangan… bandar dan separa bandar kita akan pastikan kerjasama jentera Pemuda BN khususnya di kalangan parti-parti komponen berada di tahap yang maksimum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pemuda BN, di sini, hari ini.

Asyraf yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya menjelaskan daripada laporan yang diterima Pemuda BN seluruh negara telah mengadakan mesyuarat penyelarasan masing-masing.

“Kita juga telah putuskan untuk kita menggerakkan semua jentera di akar umbi secara bersama dan mesti berada di barisan depan untuk kita membantu pihak berkuasa menghadapi sebarang kemungkinan jika sekiranya banjir berlaku dan sebagainya.

“Jentera Pemuda BN mesti difokuskan bukan sekadar untuk berkempen tetapi juga membantu rakyat dalam apa jua keadaan,” tambahnya.

Tambah beliau lagi, Pemuda BN juga akan menggunakan sepenuhnya ruang dan platform media sosial bagi memastikan segala polisi serta dasar parti untuk rakyat dan negara dapat jelaskan sebaiknya.

“Kita akan memaksimumkan penggunaan platform media sosial bagi memastikan semua agenda, polisi dan dasar parti yang bermanfaat untuk rakyat dapat kita jelaskan. Kita mahu fokus politik secara matang, politik berasaskan fakta bukannya berasaskan sentimen, politik berasaskan nilai dan bukannya politik menabur kebencian,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 19 November sebagai Hari Pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) N66 Bugaya.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November.Dengan penetapan tarikh tersebut, sebanyak 14 hari diperuntukkan untuk tempoh berkempen dalam PRU ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan pengundian awal adalah pada 15 November.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.