Ancaman Asing dan Kedaulatan Negara, KDN Perlu Buat Kenyataan… Tegas Tanpa Kompromi – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 20 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa isu berkaitan ancaman sing dan kedaulatan negara adalah isu yang sangat serius.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian berikutan baru-baru ini kecoh isu penglibatan ejen perisikan dari Israel masuk ke Malaysia dan menculik warga Palestin yang berada di negara ini
“Isu ini sangat serius kerana membabitkan negara asing terutamanya negara Israel yang sememangnya Malaysia tidak ada hubungan diplomatik. Israel merupakan musuh kepada negara luar kerana dasar kezaliman dalam isu hak asasi manusia dan bukan soal agama semata-mata.
“Tindak-tanduk Israel dalam isu penculikan tersebut jelas tidak menghormati kedaulatan negara Malaysia. Malah dari satu segi seolah-seolah mencabar kedaulatan negara dan merupakan ancaman kepada negara kita.
“Bayangkan orang awam biasa yang tidak berdosa boleh tercedera atau berlakunya kematian dengan operasi haram di negara kita, jika terus berterusan operasi haram mereka,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Dalam hal ini, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Luar Negara sewajarnya mengemukakan nota bantahan kepada negara Israel dan membawa isu ini ke medan antarabangsa serta mengutuk sekeras-kerasnya penglibatan haram negara Israel yang melakukan tindakan ‘terrorisme’ di negara Malaysia.
“Ini juga bermakna negara Israel juga mempunyai aset risikan di negara ini dan harus dibanteras segera. Kementerian Dalam Negeri perlu membuat kenyataan yang lebih menyeluruh dan bukan hanya di peringkat baru meneliti. Hal ini kerana KDN mempunyai mekanisme yang efisien dalam sistem keselamatan negara.”
Katanya, sudah tentu 32 juta rakyat Malaysia sedang tertunggu-tunggu langkah kerajaan bagi menangani situasi ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang dan pihak yang terlibat dengan perisikan asing yang berniat jahat diambil tindakan yang tegas tanpa kompromi.
“Setinggi-tinggi syabas diucapkan kepada PDRM yang berjaya menumpas perculikan warga asing oleh agen perisikan asing. Justeru, aspek kawalan keselamatan dari pelbagai akibat ancaman Israel terhadap pemimpin pejuang Palestin di negara ini perlu dipertingkatkan.
“Penegasan aspek keselamatan dan kedaulatan negara amat penting bagi memastikan tidak ada negara berani melakukan provokasi dan membuat onar di negara kita.
“Semoga pembentukan kerajaan yang baharu nanti akan mempunyai peneraju kementerian yang lebih cekap dan proaktif,” katanya lagi. – UMNO Online