PRU15: Pembubaran DUN Perak Dapat Jimatkan Belanja, Mudahkan Rakyat – Hang Tuah

BAGAN DATUK, 19 Okt – Selepas hampir seminggu menanti penuh debaran bagi pimpinan dan rakyat negeri Perak, akhirnya Dewan Undangan Negeri (DUN) terjawab dan dibubarkan berkuat kuasa Isnin.   

Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hang Tuah Din berkata pembubaran DUN ini dapat menjimatkan belanja kerajaan negeri, pusat serta memudahkan lagi rakyat untuk memilih pemimpin pada masa hadapan.

Terdahulu pembubaran DUN Perak diumumkan oleh menteri besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad setelah mendapat perkenan dari Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dan pembubaran ini membolehkan negeri Perak mengadakan pilihan raya serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

“UMNO Bahagian Gopeng menjunjung kasih di atas perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ini dan selaras Fasal (2) Perkara XXXVI, Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

“Ianya memberikan laluan kepada PRU ke15 bagi peringkat negeri dan Parlimen serta dapat dibuat dengan sekaligus,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu beliau cukup teruja apabila Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama-sama parti komponen BN dan jentera seluruh negeri sepakat dalam perasmian ‘Soladiriti Kestabilan dan Kemakmuran’ peringkat negeri Perak.

“Sebagai pimpinan bahagian dan juga rakyat Perak saya cukup bangga serta gembira apabila Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO bersama Perdana Menteri Malaysia dan komponen merasmikan pelancaran jentera BN di sini.

“Pelancaran ini bermula di negeri Perak dan secara tidak langsung ianya menunjukkan ukhwah yang begitu rapat di antara seluruh komponen BN,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama Hang Tuah meluahkan kekecewaan ada segelintir rakyat mengatakan Presiden UMNO dan Perdana Menteri tidak sependapat.

“Cakap-cakap di luar yang mengatakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sehaluan dan sebagainya ianya dapat dipatahkan dengan begitu sahaja dan Ahmad Zahid turut menegaskan Ismail Sabri akan kekal menjawat jawatan PM selepas PRU15.

“Ini adalah cerita-cerita luar yang sengaja hendak melemahkan BN dan ianya sebenarnya tidak pernah berlaku apatah lagi solidariti kuat dan kukuh bagi menghadapi PRU 15,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit