Tuduh Pemuda UMNO Buat Provokasi… Laporan Polis, Saman Terhadap Syed Saddiq

MUAR, 17 Okt – Hari ini Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Muar telah membuat satu laporan polis terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa kepimpinan MUDA yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap Pemuda UMNO.

Ketuanya, Mohd Helmy Abd Latif berkata MUDA mendakwa bahawa Pemuda UMNO telah membuat provokasi dan kekacauan ketika ‘Ceramah Mega Muar MUDA’ sedang berlangsung semalam sedangkan ianya tidak benar.

“Tuduhan ini dikemukakan dalam bentuk ucapan dan beberapa paparan dalam laman Twitter yang menuduh Pemuda UMNO sebagai kumpulan yang mencetuskan kekecohan semasa YB Syed Saddiq sedang berucap di pekarangan Pejabat Parti MUDA Muar, semalam.

“Selaku Ketua Pemuda UMNO Muar, saya menegaskan bahawa Pemuda UMNO Muar khasnya, dan Pemuda UMNO secara keseluruhannya menolak politik secara provokasi sebegini dan ialah adalah budaya yang tidak diamalkan oleh Pemuda UMNO.

“Untuk pengetahuan semua, keseluruhan jentera Pemuda UMNO Bahagian Muar terlibat secara langsung dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO dan juga Pelancaran Jentera Pilihan Raya pada hari semalam.”
Secara logiknya tegas Mohd Helmy mustahil bagi mereka untuk meluangkan masa melakukan sesuatu yang tidak langsung mendatangkan faedah kepada parti.

“Justeru, kerana melihat kepada usaha untuk melemparkan fitnah amat mudah oleh pimpinan MUDA ini, saya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis dan saya juga telah berbincang dengan peguam saya untuk membuat tindakan saman terhadap mereka yang telah menuduh Pemuda UMNO di dalam kes ini,” katanya lagi dalam kenyataan kepada UMNO Online. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit