Pemimpin UMNO Perlu Peka Terhadap Fitnah, Tohmahan Pembangkang Di Media Sosial

SANDAKAN, 16 Okt – Pemimpin serta ahli UMNO diingatkan agar memanfaatkan sepenuhnya media sosial dalam mempertahankan parti serta kepimpinan dari berterusan menerima tohmahan dan fitnah daripada pihak lawan.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata beliau kecewa kerana kurangnya penglibatan pemimpin serta ahli yang aktif di media sosial dalam membalas segala kritikan serta tohmahan pihak lawan dan meminta perkara ini diambil perhatian serius terutamanya dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, UMNO /BN perlu mengaplikasi perkembangan media sosial yang berperanan sebagai pembela parti dan rakyat bagi menangani pelbagai isu ketika ini.

“Pada waktu ini UMNO/BN perlu memanfaatkan segala media sosial untuk menjawab tohmahan, persepsi yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak terutama sekali pembangkang. Jika kita biarkan ianya akan membawa persepsi negatif kepada parti yang akhirnya merosakkan pemikiran rakyat untuk mempercayai segala tomahan dan fitnah yang ditaburkan terutamanya di media sosial,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Kinabatangan di Dewan Masyarakat Sandakan, Sabtu.

Menurut Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan semua pemimpin dan ahli UMNO memiliki telefon pintar yang memudahkan tugas untuk membalas segala tomahan serta fitnah yang dilontarkan kepada parti dan pemimpin tetapi malangnya menurut beliau kemudahan tersebut tidak digunakan sebaiknya, sebaliknya mereka hanya sekadar menjadi pembaca, malah lebih malang ada pula yang menyokong kenyataan yang dibuat parti lawan.

“Hari ini maklumat, makluman dan segala data secara formal kurang memberi tarikan kepada masyarakat, akan tetapi masyarakat lebih gemar melihat segala yang berbentuk hiburan, serangan-serangan berbentuk fitnah dan dakyah lebih mendapat perhatian kerana ianya berbentuk hiburan, sindiran dan senda gurauan,” katanya.

Tambah Bung walaupun UMNO/BN kerap dijadikan sasaran dan tuduhan dari pihak pembangkang namun pendekatan yang perlu digunakan pakai untuk menjawab segala tohmahan dan fitnah perlu berasaskan kepada fakta.

“Kerana itu UMNO/BN perlu menjawab fitnah atau berita palsu yang berleluasa bagi membetulkan keadaan dan jangan membiarkan ia menjadi persepsi yang buruk.

“Media sosial turut berperanan penting dalam menjana persepsi imej sesuatu parti. Ia lebih menjurus menjana persepsi yang tidak baik sekiranya persepsi buruk dari pembangkang dikongsi banyak kali oleh netizen,” jelas beliau.

Justeru tambah Bung, UMNO/BN terutamanya Biro Penerangan, Pergerakan Pemuda, Puteri perlu menawarkan satu solusi yang berbeza walaupun ianya berfakta bukan sahaja menjawab segala fitnah dan tohmahan tetapi dalam menyampaikan maklumat dasar serta perjuangan parti kepada masyarakat dalam bentuk yang lebih kreatif dan menarik sama ada di media sosial Instagram dan Tik Tok agar orang ramai membacanya.

Dalam hubungan yang sama beliau juga meminta rakyat khususnya ahli-ahli parti jangan mudah mempercayai berita yang ditularkan di media sosial serta menularkannya sebelum meneliti kesahihan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit