Jika Demi Rakyat Tentu DUN Bubar… Tak Perlu Mengundi Dua Kali – Norsabrina
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor merakamkan rasa terkilan dengan ketetapan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kedah yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dalam masa terdekat.
Ini kerana katanya, tindakan tersebut tentunya hanya membebankan jentera pentadbiran kerajaan dan seluruh rakyat yang bakal mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk peringkat Parlimen.
“Jika mengambil pertimbangan demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat, tentunya pembubaran DUN akan dilakukan kerana ini akan memudahkan rakyat untuk mengundi sekali sahaja bagi Parlimen dan DUN.
“Jika soal tempoh masa pula, baki yang ada hanyalah sekitar lima atau enam bulan sehingga tamat penggal yang tentunya akan menggangu proses kerajaan pusat yang baharu kelak bagi merencana pengurusan dan pembangunan untuk negara secara keseluruhan.
“Apatah lagi jika bercakap soal kos yang tentunya akan membabitkan perbelanjaan dari pengurusan yang berlipat kali ganda. Andaikan bulan ini atau bulan depan PRU ke-15 peringkat Parlimen, dan tahun depan yang tentunya sebelum habis penggal adalah dalam bulan April, sekali lagi belanja akan dikeluarkan untuk pilihan raya peringkat negeri,” katanya.
Biarpun begitu, beliau menekankan bahawa perjuangan belum selesai dan survival demi berkhidmat kepada rakyat diteruskan dengan lebih kekuatan daripada keluarga besar dalam UMNO dan BN.
Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan akur dengan ketetapan yang dibuat Pas Pusat agar tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dalam masa terdekat sebagaimana ketetapan dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Kerja Pas Pusat pada Khamis. – UMNO Online