PRU15: Tolak Retorik, Pilih Pemimpin Yang Memperjuangkan Rakyat – Abd Rahim
PAYA BESAR, 13 Okt – Rakyat diingatkan supaya memilih pemimpin yang benar-benar mahu memperjuangkan nasib rakyat dan bukannya beretorik semata-mata terutamanya seperti ahli politik dari Pakatan Harapan (PH).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Datuk Abd Rahim Muda berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya melupakan penantiannya untuk menjadi Perdana Menteri kerana beliau sudah tidak relevan buat masa ini.
“Sebenarnya Anwar boleh melupakan hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri kerana beliau tidak sesuai lagi dengan pemikiran serta perjuangan yang akan menyebarkan perkara-perkara yang tidak betul.
“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, kita tengok pelbagai fitnah disebarkan kepada masyarakat sehingga sebahagian besar daripada mereka terpengaruh dengan isu-isu seperti harga minyak, PTPTN, GST dan sebagainya.
“Itu semua adalah retorik dan kita sebagai rakyat mestilah memilih pemimpin yang betul-betul berjuang untuk rakyat. Bukannya pemimpin yang retorik seperti Anwar Ibrahim yang kita sentiasa kenal sebelum ini,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, UMNO/Barisan Nasional (BN) Bahagian Paya Besar telah bersedia untuk menghadapi PRU ke-15 yang akan tiba tidak lama lagi dan turut berharap agar rakyat memberikan peluang kepada parti itu untuk mentadbir semula.
“Secara amnya kami di Paya Besar ini pada waktu ini bersedia untuk menekan butang kerana boleh dikatakan dari Sayap Puteri, Pemuda, Wanita hingga cawangan telah bersedia untuk menghadapi PRU ke-15.
“Kita doakan supaya bukan sahaja Paya Besar menang di kesemua kerusi yang ditandingi tetapi seluruh Malaysia. Inilah tanda perjuangan UMNO/BN yang sentiasa membela rakyat sepanjang masa maka ini adalah tugas para pengundi di Paya Besar ini untuk memberi kemenangan kepada kita.
“Saya menyeru kepada semua pengundi di Paya Besar ini agar kita bersatu hati serta bersemangat. Pastikan kita turun mengundi dan berikan kemenangan kepada UMNO/BN pada PRU yang akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online