Ahmad Zahid Ucap Selamat Bersidang Kepada Perwakilan Wanita, Pemuda Dan Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO seluruh negara bagi tahun ini.

“Selamat bersidang diucapkan kepada semua perwakilan, saya doakan semua berjalan dengan baik di dalam melaksanakan tanggungjawab demi memenuhi tuntutan parti.

“Semoga perjuangan kita sentiasa diberkati Allah Taala. Dunia mendapat kejayaan dan di akhirat mendapat keredhaan,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam platform media sosial yang sama, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad turut berharap agar mesyuarat pada kali ini menjadi satu wadah untuk semua menggerakkan satu pengukuhan dan kebangkitan parti.

Begitu juga bagi Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan yang berkata mesyuarat pada kali ini semua ahli berada di dalam mood peperangan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Semoga segala urusan kita dipermudahkan. Salam UMNO Sebuah Perjuangan,” katanya.

Dijadualkan, mesyuarat perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO bahagian bagi tahun ini bermula pada hari ini sehingga 9 Oktober, Ahad.

Manakala mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian akan diadakan pada 14 hingga 16 Oktober nanti.

Sebelum ini, mesyuarat agung tahunan UMNO Cawangan telah berjaya dilaksanakan pada 15 Ogos hingga 18 September.

Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 4 Ogos lalu juga menetapkan Perhimpunan Agung UMNO pada 23 hingga 26 November. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit