Lantanid: Jangan Kelirukan Rakyat- MB Perak

IPOH, 29 Sept – Kerajaan Perak meminta pihak pembangkang agar berhenti mengelirukan rakyat dan menyebarkan maklumat tidak benar, mengenai aktiviti melombong Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) lantanid di Gerik yang didakwa memberi kesan radioaktif.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata dalam cubaan untuk menipu rakyat pembangkang sebaliknya lupa bahawa, mereka sendiri sudah mempunyai maklumat yang mencukupi tentang isu terbabit.

“Mereka (pembangkang) jangan buat-buat lupa kerana NR-REE ini sudah dimulakan pada zaman Pakatan Harapan (PH), kemudian kepada Perikatan Nasional (PN) dan saya hanya menyambungnya.

“Sudah-sudahlah cuba bermain isu demi meraih sokongan politik, hentikan sandiwara dengan menghasut dan menakutkan rakyat pada perkara yang tidak betul, malah memang saya jangka mereka akan gunakan isu ini untuk memfitnah kerajaan negeri.

“Nasihat saya cukup-cukuplah, mereka kata tak dapat maklumat dan isu tidak dibincangkan bersama wakil rakyat pembangkang, maknanya mereka tertidur dalam dewan ketika bersidang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Perak Sejahtera 2030 Piala Menteri Besar Perak dekat sini semalam.

Semalam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji Howard Lee Chuan How, ketika berceramah sempena program Jelajah Tolak BN-PN di Kampung Manjoi di sini pada malam Selasa, melahirkan kebimbangan perlombongan lantanid akan memberi kesan radioaktif seperti mana yang pernah berlaku di Bukit Merah, Menglembu suatu masa dahulu.

Malah Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Datuk Asmuni Awi ketika sidang akhbar pada program itu, berkata memang tiada sebarang sesi libat urus bersama wakil rakyat pembangkang mengenai perlombongan terbabit.

Saarani menambah, kerajaan memberi jaminan nadir bumi itu selamat untuk diterokai dan tidak akan beri kesan seperti yang didakwa pembangkang.

“Pendirian kita jelas dan tegas jika benar bahan yang dilombong itu mempunyai sumber bahan radioaktif maka ia tidak akan dilangsungkan, saya bukan pemimpin yang mahu berniaga atas kesihatan rakyat.

“Kita tidak akan mempertaruhkan kesihatan dan nyawa manusia hanya semata-mata untuk mencari pendapatan baharu,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit