Tiada Istilah Balas Dendam Bagi UMNO/BN, PH Timbulkan Provokasi Melampau

BAGAN DATUK, 28 Sept – Ketua UMNO Bahagian Teluk Intan, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak bertanggungjawab yang dilontarkan Pakatan Harapan (PH) dengan sengaja menimbulkan provokasi melampau terhadap pimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, sewajarnya kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin tersebut terlalu mengikut emosi dan tidak perlu ditimbulkan.

“Saya menyangkal sekeras-kerasnya kenyataan tersebut yang tidak bertanggungjawab serta radikal dan sepatutnya tidak keluar dari orang politik.

“Kalau nak buat daripada dahulu lagi dah boleh buat, tak payah tunggu nak menang pilihan raya pun nak balas dendam… tak. Semasa UMNO/BN menerajui negara dan pimpinan pernah menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar apa pihak pembangkang tak kata dan tak buat, tapi pimpinan parti cukup bijaksana meletakkan undang-undang lebih tinggi daripada kepentingan peribadi ataupun kepentingan parti.

“Malah boleh dilihat apabila BN tewas pada PRU14 (Pilihan Raya Umum 14) dan menerima dengan hati terbuka serta mengakui kesalahan dan mana yang silap terus perbaiki keadaan,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Katanya lagi, UMNO/BN bersifat terbuka memahami sistem kenegaraan berasaskan rukun negara dan perlembagaan negara.

“Tidak timbul soal tentang balas dendam kerana sejarah telah membuktikan UMNO/BN mengurus negara dengan melakukan adil dan saksama serta mendatangkan kemakmuran kepada negeri, negara dan juga rakyat.

“BN telah membuktikan kesungguhan untuk memperbaiki dan menunjukkan tahap ‘profesionalisme’ kepada rakyat bahawa menjadi kerajaan mestilah bertanggungjawab dan cermin kepada rakyat,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji tidak akan membalas dendam kepada mana-mana pihak sekiranya gabungan itu memenangi PRU15.

Ini kerana tindakan membalas dendam tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.– UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit