Musuh BN Lupa… Makna Sebenar Slogan ‘Bossku’ Adalah Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketika musuh Barisan Nasional (BN) meramalkan pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak akan menamatkan aura ‘Bossku’ sekaligus melemahkan BN, namun sebaliknya pula yang berlaku.

Malah kata Ahmad Zahid lagi yang juga Pengerusi BN,  kegembiraan mereka juga tidak bertahan lama walaupun musuh BN gembira dan ‘meraikan’ Najib dipenjarakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“BN terus mara. Jasa dan budi ‘Bossku’ tetap tersemat rapi dalam sanubari anggota masyarakat yang mula mengetahui kebenaran di sebalik kebenaran. Sekali gus melonjakkan lagi keyakinan dan kepercayaan majoriti rakyat untuk memberi kemenangan besar kepada BN dalam PRU-15 akan datang.

“Sebab itu kita perlu mengerti tentang maksud ‘character assassination’ bagi memahami isu kod ‘merpati’ yang sedang dimainkan pembangkang, ‘character assassination’ atau pembunuhan karakter yang menjadi senjata politik musuh BN bertujuan ‘membunuh’ nama baik seteru politik mereka,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambah Ahmad Zahid lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, mereka berharap nama Najib Razak berjaya ‘dibunuh’ selepas dipenjarakan, namun aura ‘Bossku’ masih jadi sebutan rakyat hingga hari ini.

“Keadaan itu menyebabkan lawan BN jadi seriau dan meneruskan misi pembunuhan karakter ‘Bossku’ walaupun Najib Razak kini berada dalam tahanan. Namun kita percaya dan yakin niat jahat lawan BN itu tidak akan berhasil kerana mereka terlepas pandang perkara pokok tentang ‘Bossku’.

“Seperti pernah dijelaskan Najib Razak makna sebenar slogan ‘Bossku’ adalah rakyat. ‘Bossku’ yang sebenar di sebalik istilah itu adalah rakyat. Justeru, adalah mustahil untuk lawan BN melenyapkan aura ‘Bossku’ yang sebenarnya merupakan rakyat Malaysia.

“Bila kata ‘bossku’ pada saya, saya ingatkan diri saya bos adalah rakyat. Bila kata bosku bukan bererti bos sebenar. Rakyat jadi bos kita” – [Najib Razak/22 Februari 2019],” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit