UMNO/BN Sentiasa Sokong Aspirasi Anak Muda – Tengku Haphiz
KUALA LUMPUR, 26 Sept – UMNO/Barisan Nasional (BN) sentiasa menyokong apa jua aspirasi anak muda sekaligus membuktikan bahawa parti ini tidak pernah meninggalkan golongan muda dalam proses membuat dasar.
Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, beliau percaya bahawa tawaran untuk anak muda akan diumumkan oleh pucuk pimpinan UMNO/BN tidak lama lagi.
“Kepada anak-anak muda dan kawan-kawan di luar sana, percayalah saudara bahawa UMNO/BN akan sentiasa menyokong apa sahaja aspirasi anak muda.
“Saya fikirkan Insya-Allah dalam waktu terdekat ini tawaran untuk anak muda akan dilontarkan daripada pucuk pimpinan UMNO/BN. Kita tunggu dan lihat nanti,” katanya kepada UMNO Online.
Menurut Tengku Haphiz, rakyat seluruh negara sudah mampu untuk membuat keputusan bagi menentukan parti mana yang bakal dipilih untuk mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.
“Pada kali ini saya fikir rakyat seluruh negara pun akan boleh memilih dan menilai berdasarkan kepada track record kita. Pada sebelum 2018 dan sekarang ini semua parti seluruh negara sudah menjadi kerajaan dan bergerak sebagai pentadbir di mana-mana tempat.
“Jadi rakyat boleh menilai sendiri dan saya percaya berdasarkan penilaian itu, yang layak untuk menjadi pentadbir pada PRU ke-15 adalah UMNO/BN sahaja,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Tengku Haphiz turut menyatakan kesediaan Pemuda UMNO Terengganu dalam mendepani PRU ke-15 pada bila-bila masa sahaja serta turut mengajak rakyat untuk mengundi UMNO/BN.
“Ini adalah saat yang sangat sesuai seperti mana yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO/BN sudah siap sedia untuk menghadapi PRU ke-15. Kita sudah bersiap sedia sekiranya laungan paluan pilihan raya untuk di segerakan pada bila-bila masa sahaja.
“Tuan-tuan dan puan-puan semua yang berada di luar sana terutamanya mahasiswa, anak-anak muda berusia 18 tahun baru kali pertama mengundi, undilah UMNO/BN kerana hanya parti ini yang mampu untuk memberikan kestabilan dan kemakmuran kepada negara,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman