Tolak Propaganda Politik Burukkan UMNO/BN, Muhyiddin Tuding Jari Sembunyi Kealpaan

JOHOR BAHRU, 20 Sept – Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berharap agar rakyat khususnya pengundi tidak lagi terpedaya dengan kata-kata Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden PPBM.

Terbaharu, Muhyiddin dilapor secara terbuka membidas kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob, yang dilihatnya tidak memandang semua isu membelenggu negara ketika ini termasuk inflasi, kekurangan tenaga kerja dan kemerosotan nilai ringgit sebagai sesuatu yang penting.

Dalam hal ini, Ismail yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang mengajak rakyat untuk terus membulatkan tekad bersama UMNO/ Barisan Nasional (BN).

“Usahlah kita terpedaya lagi dengan taktik propaganda mereka yang memburukkan kepimpinan UMNO/BN malah nilailah sendiri kalau Tan Sri Muhyiddin waktu jadi PM pun rakyat terbiar, terkurung dan tak dibela maka takkanlah kita nak ‘pisang berbuah dua kali’,” katanya.

Tegas Ismail, pengundi khususnya orang Pagoh perlu sedar bahawa Muhyiddin yang menjadi Ahli Parlimen Pagoh sejak 1978 gagal apabila di kawasan yang diwakilinya sendiri banyak perkara tidak selesai.

“Sejak 1978 hingga ke hari ini, dulu beliau diangkat melalui BN tapi kemudian apabila dalam Pakatan Harapan (PH) dan PN sekarang ini, ternyata banyak hal-hal membabitkan rakyat yang terbiar dan tidak diuruskan.

“Malah di Pagoh, Tan Sri Muhyiddin dah maklumkan bertanding untuk kali terakhir, maka jika diambil pada suasana politik berdasarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka terbukti bahawa partinya ditolak.

“Ini bermakna kalau beliau menang pun tapi jika partinya maka ia adalah satu kerugian besar untuk masyarakat Pagoh yang sebelum ini membangun dalam BN namun ketinggalan apabila ditadbir oleh parti lain sebagaimana PH sebelum ini dan di bawah PN ketika ini,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau, pembangunan dan kemajuan sesebuah kawasan adalah bergantung kepada parti yang diberikan mandat oleh rakyat dan tentunya adalah amat rugi sekiranya memilih mengekalkan Muhyiddin sebagai Ahli Parlimen Pagoh sedangkan partinya ditolak diperingkat negeri dan pusat.

“Mahukah kita kekal sebagai kawasan pembangkang yang tentunya rakyat akan tertinggal dari segi pembangunan modal insan.

“Macam sekarang, bila nak Pilihan Raya Umum (PRU) maka barulah nak buat program-program dan dekati rakyat sedangkan sebelum ini Tan Sri Muhyiddin adalah perdana menteri namun rakyat di Pagoh masih tak berubah.”

Terang Ismail, UMNO/BN sudah merealitikan khidmat untuk rakyat iaitu melakukan kerja dan membantu masyarakat dalam apa juga keadaan sekalipun bergelar pembangkang dan wakil rakyat Pagoh yang menjadi perdana menteri tidak muncul.

“UMNO/BN tidak akan sesekali tabur janji apatah lagi ‘membeli’ undi seperti yang dilakukan mereka di Pagoh, bila dah menang meninggalkan rakyat kemudian bila dah dekat PRU muncul lagi dengan macam-macam janji dan adu domba.

“Lihat bagaimana Tan Sri Muhyiddin mengatakan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri iaitu Naib Presiden UMNO gagal sedangkan beliau sendiri ada dalam kerajaan dan menerajui Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

“Inilah sikapnya yang menuding jari pada orang walhal diri sendiri yang bermasalah dan gagal melunaskan tanggungjawabnya.” – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit