UMNO Wadah Perjuangan Tiada Galang Ganti, Ahli Bertaut Kukuh Untuk PRU15 – Hasan

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Hasan Abdul Rahman menegaskan bahawa UMNO merupakan satu wadah perjuangan yang tidak ada galang ganti dan ia harus kembali menjadi lebih kuat dari sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai mengharapkan agar seluruh ahli UMNO kembali bertaut dan melupakan segala perselisihan faham.

“Kita jangan mengaku kalah kerana ahli UMNO sudah melalui segalanya. Macam-macam perkara kita dah lalui dengan UMNO yang dah lebih 75 tahun penubuhannya, iaitu jadi kerajaan dulu lebih 60 tahun, kita dah jadi pembangkang dan sekarang kita walaupun berkerajaan tapi kerajaan hari ini rapuh. Kerana itu saya yakin semua ahli UMNO selagi mampu dan terdaya akan teruskan perjuangan, begitu juga saya.

“Saya ingin meneruskan perjuangan kerana mahu melihat parti kembali kuat. Kalau kita nak perintah lepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 parti UMNO mesti kuat dan hebat. Jangan lemah dan aturkan strategi serta dapat menyelesaikan segala isu serta pilihlah calon yang rakyat mahukan dan bukannya yang kita mahu,” jelasnya.

Dalam tujuan mendepani PRU akan datang dengan persediaan dilaksana, maka beliau berharap agar perpaduan dalam kalangan ahli dan kepimpinan parti akan semakin kukuh.

“Saya merasakan diri saya terlalu kerdil untuk menyampaikan apa jua pandangan tetapi apa yang nak saya suarakan ialah sudah sampainya masa untuk kita kembali bertaut dan melupakan segala titik bengit yang telah menghancurkan UMNO/BN selama ini.

Stop dulu gencatan, kita memang ‘bertengkar’ tapi jangan lama-lama dan selepas itu sama-sama baik. Ambil yang jernih dan susun balik, paling penting menang pilihan raya,” ujarnya.

Hasan juga turut menyetujui pandangan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyuarakan untuk Perlembagaan BN dilihat semula.

Jelasnya, ada klausa-klausa yang perlu dipinda untuk BN.

“Ada ‘klausa-klausa’ mesti diubahsuai mengikut keadaan semasa di mana ada peraturan yang tidak sesuai lagi dan perlu dikaji dan disusun semula.

“Pengerusi BN mempunyai kuasa tertentu untuk mengaturkan sesuatu demi kebaikan parti dengan mendapat persetujuan ahli-ahli dan UMNO/BN Jasin setuju agar ianya dapat diolah.

“UMNO juga mesti diolah supaya sesuai dengan naratif dan hasrat kepimpinan kerana sekiranya tidak diolah ianya akan bakal memudaratkan parti.”

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online dalam temubual eksklusif baru-baru ini. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit