Nilai Ringgit Terburuk Di Asia Pada Zaman PH, Guan Eng Jangan Buta Sejarah – Shaiful

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mengingatkan Lim Guan Eng bagaimana penyusutan nilai ringgit pada zaman Pakatan Harapan (PH) sehingga dilabel sebagai salah satu mata wang yang mencatatkan prestasi terburuk di rantau Asia.

Menurut beliau, Gan Eng tidak seharusnya buta sejarah apabila PH menjadi kerajaan nilai ringgit susut nilai RM0.40 sen daripada RM3.80 kepada RM4.20.

“Media antarabangsa melaporkan ringgit catat prestasi teruk selepas baht Thai, yuan China dan rupee India, apabila susut 4.6 pe­ra­tus antara April hingga Jun 2018. Walaupun kini ringgit berada pada paras RM4.54 maka keadaan ini hanya menandakan terdapat peningkatan sebanyak RM34 sen daripada angka terburuk RM4.20 pada ketika itu.

“Peningkatan sebanyak RM34 sen masih lagi jauh lebih baik berbanding peningkatan RM40 sen dalam zaman pentadbiran mereka. Mengapa nilai RM4.54 hari ini  tidak pernah dilaporkan sebagai mata wang terburuk Asia? Hal ini disebabkan pada hari ini seluruh dunia berhadapan dengan perkara yang sama,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Kata beliau lagi, oleh sebab itu, yen Jepun turun 19.2 peratus, yang terendah sejak 24 tahun lalu, pound sterling jatuh 14.4 peratus, terendah sejak 37 tahun dan Euro turun sebanyak 11.7 peratus, terendah semenjak 20 tahun yang lalu.

Tambah beliau lagi jika dibandingkan dengan rakan dagang Malaysia dan mata wang lain, maka nilai sebenar ringgit telah meningkat dan ringgit melonjak sebanyak 14.2 peratus berbanding yen Jepun, meningkat 8.2 peratus berbanding pound sterling, (4.5 peratus) berbanding euro, (3.9 peratus) berbanding dolar New Zealand dan (7.2 peratus) berbanding won Korea.

“Kesemua faktor ini jelas menunjukkan walaupun nilai mata wang kita kini pada paras RM 4.54 tetapi tidak dilabel sebagai mata wang tercorot asia seperti mana dalam zaman Lim Guan Eng kerana nilai sebenar mata wang jauh lebih kukuh berbanding dengan kebanyakan mata wang dunia lain.

“Keadaan ini berbeza dengan susut nilai mata wang negara disebabkan terhakisnya pelabur asing terhadap kepimpinan baharu Pakatan Harapan pada waktu itu. Pada masa itu, Bloomberg juga melaporkan Malaysia merupakan pasaran saham yang paling corot di dunia yang mana tidak berlaku pada hari ini.”

Jelasnya, pentadbiran pada hari ini pula mencatat mencatatkan pertumbuhan ekonomi kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 dipacu permintaan domestik yang tinggi, disokong pemulihan pasaran pekerja serta dasar-dasar kerajaan yang berterusan.

“Cuma saya agak musykil dan hairan, sebagai bekas menteri kewangan, kedua-duanya Guan Eng dan Anwar sama sekali tidak beri cadangan jalan keluar menangani mata wang ringgit yang makin melemah, perangai dan sifat masih tidak berubah, masih ‘low class’,” tambahnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.