UMNO/BN Perlu Terus Kukuhkan Perpaduan Depani Suasana Politik Mencabar

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Nor mengajak ahli parti dan juga jentera untuk terus mengukuhkan perpaduan pada saat politik negara berada dalam keadaan yang mencabar ketika ini.

Jelasnya, sekiranya UMNO/Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, apa yang dihasratkan akan berkubur dan parti akan sukar untuk bangkit semula.

“Paling penting di saat yang mencabar ketika ini ialah perpaduan kerana kita tidak boleh kalah dalam PRU yang akan datang.

“Sekiranya kita kalah, apa yang kita hasratkan akan berkubur dan makin sukar untuk kita bangkit kembali,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut menyeru para pengundi untuk berfikir secara rasional dan memberikan kepercayaan kepada UMNO/BN untuk mentadbir negara semula.

“Kepada pengundi terutamanya, berfikir secara rasional. Kita telah merasa tiga buah bentuk kerajaan. Kita dapat menilai yang mana betul, yang mana salah serta yang mana fitnah, yang mana fakta.

“Beri sekali lagi kepercayaan kepada UMNO/BN kerana kita tahu bagaimana nak menguruskan negara ini. Kita bukan sahaja mempunyai pengalaman, tetapi kita punya hubungan yang baik bukan sahaja dalam tetapi dengan pemimpin dan tokoh-tokoh luar negara. Kita tahu bagaimana nak memperbetulkan ekonomi yang menjadi masalah utama bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain.

“Sekiranya kita memilih berdasarkan sentimen dan emosi, saya percaya keadaan akan jadi lebih teruk. Berilah semula kepercayaan kepada UMNO/BN,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit