‘Abah’ Berjanji Lagi… Cukup-cukuplah Ratib Untuk Rakyat Pagoh – Ismail

PAGOH, 14 Sept – Kenyataan Ahli Parlimen Pagoh merangkap Presiden PPBM dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyddin Yasin mengenai agenda utama parti itu adalah untuk membantu rakyat dilihat sebagai janji kosong yang sering diratibkan.

Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata, semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan sehingga menyebabkan akhirnya ekonomi negara merundum.

“Saya lihat sewaktu dia menjadi Perdana Menteri, banyak perkara yang tak dapat dia selesaikan. Dalam tempoh setahun lebih dia menjawat jawatan tersebut, tak nampak banyak perkara yang dapat diusahakan kecuali perkara yang dahulu UMNO/Barisan Nasional (BN) pernah bangkitkan, itu yang diteruskan.

“Di bawah kerajaan PN, ekonomi kita jatuh teruk. Tan Sri Muhyiddin buat satu strategi darurat. Kita dah kena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kena kurung tak boleh berniaga. Sampai satu tahap, dia isytiharkan darurat menyebabkan ekonomi kita makin merundum. Pelabur dah tak minat nak melabur.

“Seperti di Parlimen Pagoh, pelbagai usaha telah dilakukan oleh UMNO/BN untuk membantu usahawan. Ini termasuk dengan bantuan untuk membangunkan modal insan seperti memastikan usahawan terus berjaya melalui teknologi terkini dan sebagainya,” katanya ketika ditemui menjelang Program Karnival Rakyat Parlimen Pagoh.

Sebelum itu, Muhyiddin dipetik berkata menerusi laman Facebooknya, “sebagai Ahli Parlimen Pagoh, Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) agenda membantu rakyat merupakan agenda nombor satu bagi parti ini termasuk usaha menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan kemahiran usahawan kepada orang muda dan graduan universiti.”

Bidas Ismail, UMNO/BN tidak akan sesekali menabur janji apatah lagi ‘membeli’ undi seperti yang dilakukan oleh PN di Pagoh, lalu meninggalkan rakyat selepas mereka menang.

“Ini sebenarnya berlaku di Pagoh. Sebelum keluar mengundi, mereka dibayar. Inilah yang menyebabkan UMNO/BN kalah tempoh hari. Salah satunya adalah faktor imbuhan. Kita tak sangka orang yang pernah berada di Pagoh selama berpenggal-penggal menggunakan strategi ini untuk mempengaruhi pengundi.

“Apabila menang, akhirnya dia tidak boleh buat apa-apa. Parti dia bukan dalam Kerajaan Persekutuan. Masyarakat Pagoh khususnya akan tertinggal. Jadi harapan saya kepada pengundi Pagoh, kena lihat benda ni. Jangan pilih wakil rakyat yang hanya membeli undi waktu pilihan raya.

“Dia kata kita rasuah, tetapi kita tak buat kerja tu. Kita ada bukti-bukti Cuma ianya agak sukar untuk kita bawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya penuh yakin pengundi Pagoh yang menerima imbuhan tersebut akan menilai siapa yang sebenarnya kuat main rasuah dan siapa yang sebenarnya membeli undi. Adakah UMNO/BN ataupun PN?” katanya lagi.

Menurut Ismail lagi, UMNO/BN tetap terus bekerja dan menyantuni rakyat meskipun mereka kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.

“Walaupun kami kalah di satu DUN (Bukit Kepong), kami akan bekerja, terus santuni rakyat. Insya-Allah dengan cara demikian, masyarakat Pagoh akan menilai parti mana yang terbaik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

“Bukan menang kerana faktor tertentu, seperti memberi imbuhan semasa hari mengundi dan sebagainya. Selepas itu, bila menang ditinggalkan. Kami tak mahu macam tu.

“Kami nak biarlah UMNO/BN terus berkhidmat sepanjang masa. Itulah UMNO, sebuah parti yang membela rakyat selain daripada kita memperjuangkan soal dasar, kita juga membela rakyat tidak kiralah orang susah mahupun orang yang memerlukan bantuan. Usaha tersebutlah yang akan kami teruskan

Dalam pada itu Ismail berpendapat, rakyat sudah mempunyai pengalaman ditipu oleh Pakatan Harapan (PH) mahupun PN dan turut berkeyakinan bahawa rakyat akan memilih UMNO/BN pada PRU ke-15 kelak.

“Cukuplah, mereka dah ada pengalaman ditipu oleh PH. Kalau mahu parti yang terbaik untuk mentadbir negara, pilihlah UMNO/BN.

“Saya penuh yakin, rakyat dalam PRU ke-15 akan berbalik kepada kita dan Insya-Allah UMNO/BN akan perbetulkan balik segala perkara yang telah dirosakkan oleh PH dan PN sebelum ini,” katanya lagi.

Ismail ditemui menjelang Program Karnival Rakyat @ Parlimen Pagoh yang dijadualkan berlangsung pada 15 sehingga 17 September 2022 di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh Johor. Karnival selama tiga hari ini dapat membantu usahawan untuk membangunkan modal insan termasuk memastikan mereka terus berjaya melalui teknologi terkini. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit