Rakyat Menilai Perkhidmatan BN Adalah Yang Terbaik – Aminuddin

 

IPOH, 7 Sept – Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berpandangan Barisan Nasional (BN) sepanjang memerintah lebih 60 tahun telah memberikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat.

Justeru itu, mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, beliau percaya peralihan undi rakyat kepada UMNO/BN bagi merampas kembali kerusi Parlimen Tambun serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dan Hulu Kinta yang dimenangi Pakatan Harapan (PH).

“Saya merasakan rakyat dapat menilai sendiri perbezaan di antara bentuk-bentuk perkhidmatan diberikan oleh wakil rakyat BN dan PH malah kami berkeyakinan dapat merampas kembali Parlimen dan DUN di Tambun. Ini bukan satu tugas yang mudah tapi ianya boleh dilakukan dan ada keyakinan untuk melaksanakan.

“Pada PRU-14 lalu perkhidmatan BN yang diberikan selama ini seolah-olah tidak diberi balasan yang setimpal, pengundi Tambun terpengaruh dengan janji-janji PH dan memberikan undi kepada mereka.

“BN Tambun sedang dan telah berusaha untuk meraih sokongan serta mendengar keluhan-keluhan dari masyarakat bahawa perkhidmatan yang diberikan oleh DUN dan Parlimen semasa ini tidak begitu cemerlang berbeza dengan apa yang masyarakat rasa satu ketika dulu,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Perak menjelaskan UMNO/BN telah melaksanakan pelbagai pembangunan di Tambun sehinggakan PH hanya ‘cuci kaki’ setelah memenangi kerusi ini pada PRU-14.

“Parlimen Tambun telah memiliki hampir keseluruhan pembangunan infrastruktur. Ini adalah jasa UMNO/BN yang tidak mampu dilakukan oleh PH.

“Walaupun janji PH konon ingin laksanakan itu ini tapi tidak ada bahkan melakukan kurang lagi daripada apa yang BN lakukan,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya lagi, rakyat sudah nampak perbezaan yang cukup ketara apabila BN memberikan perkhidmatan pada rakyat berbanding zaman 22 bulan.

“Apabila berada di lapangan masyarakat akan mencari kita untuk membantu menyelesaikan masalah mereka dan rakyat memberikan pengharapan lebih kepada wakil-wakil BN untuk berkhidmat dan ini jelas kelihatan,” ujarnya.

Tambah beliau, sebagai contoh ahli-ahli majlis dari BN menjadi tumpuan masyarakat bagi mengadu segala permasalahan walaupun mereka boleh terus memohon pada agensi negeri mahupun jabatan lain. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit