UMNO/BN Sentiasa Santuni Rakyat, Khidmat Bakti Tanpa Kira Latar Belakang – Azhar
IPOH, 5 Sept – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad meluahkan harapan untuk UMNO/Barisan Nasional (BN) mentadbir sepenuhnya negeri Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Katanya ini kerana UMNO/BN sentiasa menyantuni rakyat dengan melakukan kerja khidmat bakti sepanjang masa tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.
“Kalau bercakap keseluruhan negeri Perak UMNO pada PRU-14 menang 27 kerusi (Dewan Undangan Negeri) bukan kata kita tak kuat tapi kurang kerusi untuk bentuk kerajaan. Namun lebih malang daripada 27 itu dua lompat Tualang Sekah dan Sungai Manik menyebabkan kita tidak boleh bentuk kerajaan.
“Tapi saya optimis untuk PRU-15 ini rakyat akan kembali memberi sokongan kepada BN malah pada pandangan peribadi saya, BN Perak sekurang-kurangnya boleh menang tidak kurang 32 ke 33 kerusi jadi kita boleh bentuk kerajaan tunggal.
“Undilah BN supaya dapat terus membantu rakyat dalam sebarang isu dan suasana. Kita bukan pilih bahkan bantu semua… juga untuk bentuk kerajaan stabil, ekonomi akan kuat, kepercayaan negara luar tinggi, dan rakyat akan mendapat pekerjaan,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online baru-baru ini.
Namun begitu jelas beliau, calon yang diketengahkan mewakili parti pada PRU-15 kelak perlu mempunyai personaliti yang tersendiri dalam usaha menarik sokongan rakyat.
Tambah beliau, mengambil contoh kerusi Parlimen Beruas yang kali terakhir disandang BN melalui parti Gerakan pada tahun sejak 1986 hingga 2004 melalui mendiang Lim Keng Yaik disifatkan sebagai tokoh disegani selain mempunyai karisma sebagai pemimpin.
“Di Beruas kali terakhir kerusi Parlimen ini dimenangi oleh mendiang Lim Keng Yaik seorang pemimpin daripada Gerakan yang mempunyai karakter kuat, tidak mudah untuk mencari pemimpin seperti ini.
“Jadi hendak menang Beruas ini dan Parlimen lain bukan suatu perkara yang senang jadi kerja kuat perlu dilakukan.
“Bagi orang Melayu kita amat yakin pengundi akan beri kepada BN tetapi calon itu sendiri, parti yang menjadi calon itu mesti bekerja kuat daripada dahulu lagi menawan semula hati masyarakat Cina di kawasan ini,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib