Bahtera UMNO Terus Belayar, Roh Perjuangan Malar Segar

RENTETAN kes yang melibatkan pemimpin UMNO di mahkamah kembali menghangatkan suasana politik tanah air. Dengan gagalnya merayu keputusan kes melibatkan Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Najib Tun Razak ianya boleh dianggap kemuncak kepuasan kepada mereka yang berusaha selama ini untuk menjatuhkan ‘Bossku’, juga saat cukup tragis kepada penyokong setia yang bersimpati kepadanya.

Kemudian berturutan perbicaraan kes-kes yang melibatkan pemimpin UMNO berlangsung di mahkamah termasuk kes yang melibatkan Presiden UMNO sendiri iaitu YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Adakah ianya suatu kebetulan atau sesuatu yang telah disusun sedang dalam perlaksanaan?

UMNO tidak melatah, 76 tahun ulang tahun UMNO pada tahun ini menjelaskan kematangannya yang telah menghadapi pelbagai gelora sejak penubuhan. Pemimpin UMNO silih berganti, krisis kepimpinan telah berkali terjadi, ramai pemimpinnya juga telah dijatuhi hukum atas pelbagai pertuduhan. Namun UMNO tetap mara dan terus melahirkan pemimpin dan berjuang untuk negara.


Mengapa seolah UMNO sahaja yang dipalit dengan pelbagai pertuduhan dan juga krisis? Atau adakah UMNO sebenarnya dicemburui?

Pilihan Raya Umum (PRU) 14 menjadi sejarah UMNO gagal meneruskan baton pemerintahan negara. Persepsi buruk telah ditimbulkan sebelum PRU-14 lagi, malah sebenarnya lebih awal dari itu. Sesuatu yang terancang cuba dilakukan untuk melemahkan UMNO melalui membunuh karektor pemimpin pemimpin tertentu. Media sosial telah menjadi medium utama melaksanakan agenda yang tersusun ini.

Mengapa UMNO dan pemimpinnya menjadi tumpuan, tidak kepada parti parti politik yang lain?

Perlu diakui, UMNO adalah ‘ibu’ kepada banyak parti politik dan pemimpin yang ada di Malaysia sekarang ini. Pas, PKR, Amanah, Bersatu, Pejuang dan lain-lain adalah berputik lahir dari UMNO. Mengapa ibu yang melahirkan hendak dilawan? Adakah ini soal tidak kenang budi atau agenda peribadi lebih besar daripada segalanya? 22 bulan permerintahan PH, menyaksikan pelbagai dasar pelik berlaku.

Politik dendam terlaksana, yang bersekongkol dengan Dap selaku parti yang dominan di kalangan Pakatan Harapan (PH) adalah yang lahir dari perut ‘ibu’ UMNO juga. Agenda dendam dilaksana, segala yang baik yang dilakukan sepanjang UMNO/Barisan Nasional (BN) memerintah sedaya upaya dilenyapkan sehinggakan sejarah cuba dimanipulasi melalui buku teks sekolah.

Kepentingan yang melibatkan Melayu Islam dijual atau dipindah milik atas alasan kononnya berlaku kerugian. Projek-projek besar yang memberi kesan dan impak jangka masa sederhana dan panjang kepada generasi muda dihentikan atas alasan berlakunya rasuah, ketirisan serta dakwaan berlaku perlanggaran prosedur pemberian kontrak yang serius.

Menariknya, bukan kepincangan sahaja yang diselongkar kes-kes yang melibatkan pemimpin PH serta yang berkaitan aktif digugurkan, pendek kata dakwa lawan gugur kawan.

Matlamat perjuangan yang berbeza di kalangan parti komponen PH menyebabkan pemerintahan mereka tidak kekal lama. Mereka berantakan sesama sendiri sehingga Tan Sri Muhyiddin Yasin menjadi Perdana Menteri. Namun DNA PH dan agenda dendam tetap dibawa bersama. Segala apa dan banyak dasar semasa pemerintahan PH dikekalkan. Ianya terus diwarisi sehingga ke Perdana Menteri sekarang ini.

BN sekarang ini hanya 1/3 di dalam kerajaan. Bagaimana ingin mempengaruhi dasar-dasar perjuangan baik untuk dilaksana? Sebab itu kes-kes pendakwaan terpilih terhadap pemimpin UMNO tidak dapat pembelaan yang sewajarnya.

UMNO tidak melatah, UMNO bukan seperti parti politik yang berjuang kerana pemimpin, UMNO berjuang kerana roh perjuangan UMNO itu lahir dari perjuangan rakyat. Sebab itu tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini walau pemimpin utama mereka dijatuhkan hukum atau masuk penjara. Namun provokasi terhadap UMNO terus dilakukan, jelas kematangan dan rasional menguasai.

Susulan kes Bossku, solidariti yang dibuat pada Taklimat Khas Presiden tempoh hari jelas tidak mendesak pun untuk memberi pembebasan atau mendesak Perdana Menteri menggunakan kuasa bagi campur tangan. UMNO bersoladiriti bagi memberi sokongan kepada Bossku yang tidak diberi peluang mengemukakan bukti baru dan menangguhkan kes bagi membolehkan pasukan peguam bersedia sebaiknya bagi membela anak guam. Sedangkan kes yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan peluang penangguhan berpuluh kali.

UMNO sebuah parti yang menghormati setiap institusi teras yang ada di negara ini. UMNO tidak mempertikaikan keputusan mahkamah. UMNO juga tidak menghina mana-mana pihak. Perdebatan terbuka terhadap kes-kes yang berlaku kepada beberapa pemimpin pada hari ini adalah lebih kepada memberi pendapat untuk membetulkan kepincangan atau lompong yang ada demi untuk mengukuhkan institusi.

Kita tidak mahu Krisis Kehakiman 1988 dan isu klip video Lingam berulang. Apa yang penting juga keadilan untuk semua rakyat malaysia, jika seorang bekas Perdana Menteri sendiri tidak mendapat pembelaan sewajarnya apa lagi peluang kepada rakyat marhaen yang menghadapi pertuduhan di mahkamah?

Rakyat boleh menilai dan rakyat Malaysia sangat bijak serta cukup rasional dalam tindakan. Hanya penyokong-penyokong parti politik yang beridealisma songsang ataupun berjuang semata-mata untuk pemimpin sahaja yang akan bertindak melulu.

UMNO terus mara, UMNO terus menongkah arus, bahtera UMNO terus berlayar dan tidak mudah diberhentikan mahupun dipesongkan haluan atau dirampas atau ditenggelamkan.

Fokus UMNO sekarang ini ingin mengubah keadaan, mengubah situasi Malaysia ini kepada yang lebih baik serta meletakkan negara ini bergerak pada landasan yang sepatutnya. PRU-15 adalah matlamat. UMNO perlu sama ada berubah atau UMNO akan diubah sesuai dengan kehendak semasa. Itu adalah persoalan yang perlu ditangani oleh kepimpinan, ahli mahupun penyokong.

UMNO tidak boleh terikut-ikut dengan rentak parti lawan yang menggunakan bermacam isu seperti mana yang mereka telah lakukan pada PRU-14 bagi memesongkan matlamat perjuangan yang sebenar.

Isu Muafakat Nasional yang timbul kembali tidak akan menjejaskan tumpuan UMNO/BN yang sudah bertekad dan yakin untuk memasuki pilihan raya tanpa melibatkan parti-parti lain.

Tiga perkara pokok seperti yang disarankan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor YB Datuk Hasni Mohammad, pertama UMNO perlu menjawab setiap isu yang ditimbulkan dengan segera, kedua UMNO perlu menjuarai turun padang membantu, membela kesusahan atau isu rakyat dan yang ketiga dalam masa yang sama UMNO perlu ada rancangan agenda masa hadapan negara yang mampan.

Bahtera UMNO terus berlayar,
Ombak besar memecahkan gelas,
Roh pejuangan UMNO malar segar,
Bagi memenangi PRU yang ke lima belas. – UMNO ONLINE

Norman Sapar
Pemerhati Politik

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.