Kedah Diminta Ambil Tindakan Sewajarnya Terhadap Kolam Musang King Di Baling – Ismail Sabri

BALING, 1 Sept – Kerajaan Negeri Kedah diminta mengambil tindakan sewajarnya berhubung kolam takungan air projek durian “musang king” di Gunung Inas di sini bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau difahamkan terdapat tiga kolam takungan besar yang membimbangkan penduduk daerah ini sekiranya pecah seterusnya boleh mengakibatkan bencana.

“Kita faham penduduk bimbang kalau kolam pecah akan bawa bencana, sebelum ini tiada lagi kolam pecah.

Saya akan minta kerajaan negeri ambil tindakan sewajarnya, macam mana (cara) kita serah kepada kerajaan negeri dan demi keselamatan penduduk kita akan bincang supaya ambil tindakan segera,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Doa Selamat Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Daerah Baling di Dataran Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.