Kemerdekaan Simbolik Keazaman Majukan Nusa Dan Bangsa – Khaled

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 ini dapat meningkatkan keazaman rakyat untuk memajukan nusa dan bangsa.

Katanya mendepani dewasa ini, Malaysia terus berhadapan dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran yang kompleks yang menuntut pemikiran dan pengorbanan besar.

“Namun di sebalik semua badai dan gelora yang kita hadapi itu, jangan sesekali kita meragui kekuatan kita sebagai sebuah negara dan bangsa.

“Yakinlah pada potensi dan kemampuan Malaysia dan segenap rakyatnya, dalam mengatasi segala cabaran yang melanda,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Memetik kata-kata ‘awam mendung pasti berarak’ pergi beliau malah berharap bahawa segala kesuraman yang melanda ini akan dicerahkan dengan terbitnya fajar yang memberikan sinar baharu.

“Janji Tuhan, setiap dalam kesukaran dan musibah, pasti ada jalan keluar, asal kita bersatu dan bersepakat, tiada halangan yang terlalu besar untuk kita atasi. Tiada kesusahan yang terlalu rumit untuk diselesaikan. Dan tiada cita-cita yang terlalu tinggi untuk kita capai.

“Marilah kita memanjat doa kepada Allah S.W.T., memohon agar Malaysia terus menjadi negara yang aman, makmur dan mendapat limpahan keberkatan dari-Nya. Selamat ulang tahun Merdeka, Malaysia,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.