Kolaborasi Bersama NGO, Aktiviti Sukan Dan Komuniti Dekati Anak Muda – Mohd Nizar

IPOH, 29 Ogos – UMNO Bahagian Parit menggerakkan pelbagai inisiatif dalam mendepani pengundi muda berumur 18 tahun ke atas yang akan menjalankan tanggungjawab mereka buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Ketuanya, Datuk Mohd Nizar Zakaria memaklumkan UMNO/Barisan Nasional (BN) bergerak secara proaktif mendekati anak muda dengan melaksanakan pelbagai program yang sinonim dengan golongan itu.

“Peringkat Jawatankuasa UMNO cawangan, sayap-sayap, bahagian begitu juga dengan parti-parti komponen bersama berganding bahu. Jika ada isu-isu tertentu apatah lagi golongan anak-anak muda hari ini berusia 18 tahun sebagai pemilih untuk didekati dan disampaikan maklumat-maklumat yang betul.

“Insya-Allah kita sentiasa bersama berkolaborasi bersama dengan persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya supaya mereka mendapat maklumat yang tepat.

“Kita kena faham bahawa pembangkang sudah pasti mereka akan memomokkan benda-benda yang dilakukan kerajaan meskipun mereka sendiri yang mendapat manfaat,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit turut memaklumkan bahwa UMNO Bahagian telah menganjurkan karnival Sukan Anak Muda Parlimen Parit yang diadakan bermula Ogos sehingga September.

Katanya, melalui 11 acara dipertandingkan ini ianya bertujuan sebagai pendekatan secara langsung dengan golongan muda melalui program kesukanan agar mereka merasa dekat dengan UMNO dan pemimpin.

“Alhamdulillah di peringkat Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri dan juga cawangan pada ketika ini melaksanakan karnival Sukan Anak Muda Parlimen Parit, acara dipertanding diadakan pada setiap minggu.

“…ada badminton, catur kemudian nanti ada dart, karom, bola dan sebagainya maknanya untuk mendekatkan parti dengan anak-anak muda bahawa kita menjiwai bersama dengan mereka.

“Mereka bukan hendak apa kerana pendekatan dalam bentuk santuni itulah sebenarnya akan memberikan satu keyakinan bahawa pemimpin parti ini begitu dekat dengan rakyat mereka.

“Selain itu ucapan hari jadi juga dilakukan meskipun ia agak biasa sahaja tetapi itu juga boleh menyentuh hati kerana ada orang yang menghargai mereka,” ujar beliau.

Dalam pada itu bagi mendepani PRU-15 ini beliau memaklumkan secara perancangan telah dilaksanakan sebaik mungkin terutama melibatkan golongan muda.

“UMNO/BN Parit menyusun gerak kerja sampai ke pilihan raya, tiada henti itu sebab kalau dilihat program di kawasan cukup banyak semua berkolaborasi secara bersama bukan sahaja untuk golongan dewasa tetapi juga kepada anak-anak muda ini

“Maknanya kita menghargai termasuk memberi motivasi kepada mereka bahawa mereka merupakan pelapis kepimpinan negara di masa yang akan datang,” katanya. – UMNO Online

 

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit