Taklimat Khas Presiden: UMNO Bersolidariti Di ‘Rumah UMNO’
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Dewan Merdeka dibanjiri dengan lebih 5,000 perwakilan untuk Taklimat Khas Presiden yang diadakan semalam di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, sejak jam 12.00 tengahari.
Tinjauan UMNO Online di Dewan Merdeka menyaksikan ‘lautan merah’ memenuhi setiap pelusuk dewan ini bagi berkongsi semarak semangat UMNO.
Tirai ucapan dimulakan dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menaikkan semangat hadirin untuk bersolidariti terutamanya dalam kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta mengingatkan para perwakilan tentang jasa beliau.
Sesi taklimat juga diteruskan dengan menampilkan dua peguam iaitu Tan Sri Shafee dan Datuk Seri Azalina Othman untuk memberi pencerahan tentang perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Suasana hiba menyelubungi Dewan Merdeka apabila dua anakanda kepada Najib berkongsi mengenai jasa ayahanda mereka kepada negara dan parti serta betapa sayangnya Najib kepada UMNO.
Tiba acara kemuncak, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan taklimat khas beliau dengan menyatakan bahawa UMNO tidak memilih jalanan untuk bersolidariti bersama Najib tetapi memilih rumah UMNO untuk bersolidariti.
Ahmad Zahid berkata, perhimpunan ini hanya dengan satu matlamat iaitu mahu mengembalikan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersendikan hukum dan bukannya negara yang ditadbir oleh pencatur undang-undang rimba.
Beliau turut kelihatan sebak dan mengambil masa untuk meneruskan ucapan beliau kerana terkenangkan orang yang begitu banyak jasanya kepada parti dan negara tidak lagi berada di Dewan Merdeka.
“Tersentuh rasanya apabila melihat ke bawah, sosok yang selalu berada bersama-sama dengan kita, hilang daripada pandangan mata. Pemimpin dan sahabat sejati kita kini terkurung. Tak dapat dibayang pedih rasanya apabila mengenangkan, dek kerana dendam politik, orang yang banyak berjasa, yang menyentuh setiap jiwa dan melakarkan pelbagai pendekatan agar rakyat pimpinannya sejahtera, kini terpisah dengan keluarga dan rakyat yang merindui sentuhannya.
“Buat anakanda beliau yang sebentar tadi menyampaikan ucapannya, lihatlah, ribuan yang hadir pada hari ini menjadi bukti Datuk Seri Najib tidak akan pernah keseorangan dan tidak akan dilupakan. Keluarganya tidak bersendirian dalam memastikan keadilan dapat dicapai buat insan yang telah banyak berjasa kepada negara dan parti keramat UMNO ini.
“Selagi mana ada ruang pembelaan, kami akan terus bersama. Bagi kami Datuk Seri Najib ibarat pohon besar di tengah padang, tempat bernaung dari kepanasan, tempat berlindung dari kehujanan,” katanya.
Majlis tamat kira-kira pada jam 6.00 petang menyaksikan pelbagai perasaan bercampur-baur terpampang di wajah para perwakilan. Sungguhpun begitu, kehadiran para perwakilan menunjukkan bahawa semangat UMNO itu masih utuh dari akar umbi. – UMNO Online