Bukit Naning Kian Berubah Wajah, Tawaran Menjadi Realiti – Fuad

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Hj Mohd Fuad Tukirin berkata mandat yang diberikan oleh masyarakat di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu dilaksanakan sebaiknya apabila beberapa tawaran pada PRN itu menjadi realiti hari ini.

Dengan mengambil beberapa contoh seperti naik taraf jalur lebar serta peningkatan infrastruktur yang menjadi masalah kepada penduduk setempat, Fuad yang juga Ketua UMNO Bakri berkata itulah yang membezakan antara Barisan Nasional (BN) berbanding parti-parti lain.

“Alhamdulillah…kita amat hargai kepercayaan yang diberikan. Pada hari ini umumnya boleh tengok dengan jelas…kalau dahulunya ketika PH mereka hanya sekadar berjanji seumpama menanam tebu dibibir tetapi kita menerusi  BN  melaksanakan apa yang kita tawarkan.

“Jelas kestabilan demi kemakmuran dapat diterjemahkan.  Walaupun baru beberapa bulan menerajui negeri Johor telah banyak dilaksanakan serta dilakukan untuk kepentingan rakyat terutama di Bukit Naning.

“Banyak program-program di Bukit Naning dapat kita terjemahkan. Itulah keuntungan apabila BN kembali memerintah dengan mengutamakan kemaslahatan rakyat dari sudut pembangunannya, soal pertanian dan pelbagai pembaharuan dari sudut infrastruktur lain dapat ditingkatkan,” katanya menerusi wawancara bersama UMNO-Online.

Fuad seterusnya menambah sepertimana dalam manifesto beliau sebelum ini, Alhamdulillah hari ini ianya dapat direalisasikan walaupun bukanlah secara menyeluruh dan tentunya ia akan mengambil masa untuk dilaksanakan sebaik mungkin.

“Sepertimana dalam manifesto saya sendiri pada PRN dahulu, Alhamdulillah telah banyak dapat diselesaikan. Sebagai contoh naik taraf jalan-jalan yang menjadi rintihan masyarakat sebelum ini, sistem perparitan dan sebagainya lagi dapat ditingkatkan yang mana pada zaman PH ianya tidak dilaksanakan sebaik mungkin.

“Untuk orang muda…masing-masing boleh lihat soal infrastruktur untuk mereka seperti padang futsal, takraw dan sebagainya lagi diwujudkan kembali dan selepas ini akan ada lagi yang menyusul. Soal Jalur lebar pula yang dulunya tidak elok hari ini saya dapat perkemaskan. Saya dapat kerjasama daripada SKMM dalam usaha membantu meningkatkan soal ini ke arah yang baik dari sudut internet.

“Ini antara yang telah dilaksanakan…selepas ini akan digiatkan lagi dan ikhtiar saya dalam pilihan raya negeri yang lalu ingin membangunkan DUN Bukit Naning yang merupakan tempat kelahiran saya akan saya teruskan. Sudah pastinya projek-projek kecil untuk manfaat penduduk setempat akan saya teruskan sehingga masyarakat setempat berpuas hati, BN terus jitu memperjuangkan nasib rakyat di DUN Bukit Naning,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit