Warkah Najib… Surat Dari Penjara

 

YANG Berhormat Presiden UMNO, Yang Berhormat Timbalan Presiden dan seluruh pimpinan UMNO dari semua bahagian.

Di malam yang syahdu ini setelah pintu kamar saya di Penjara Kajang dikunci oleh pengawal, saya tergerak hati untuk menulis warkah ini kepada seluruh pimpinan UMNO yang hadir di perjumpaan ini dan juga kepada semua penyokong kita baik di dalam UMNO ataupun diluar.

Apabila BN tewas dalam PRU14, saya beriltizam untuk terus berjuang meskipun ada yang menggambarkan UMNO sebagai kapal yang sudah karam dan kata-kata nista yang lain. Ada juga yang memberi pandangan bahawa kalau nak hidup dalam politik, kita kena pilih menyokong sama ada Tun Mahathir atau Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, saya memilih untuk menyokong UMNO sebab saya terlalu kasih kepada parti kita. Lantas itu, saya telah bekerja dan berjuang habis-habisan termasuk untuk menjenamakan semula identiti saya sebagai ‘Bossku’.

Disetiap Pilihan Raya Kecil dan negeri saya telah berusaha sedaya upaya dengan segala kudrat saya untuk menyumbang kepada kemenangan UMNO bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. Alhamdulilah, kini UMNO sudah semakin segar dan kuat. Kita sudah bangun dari mimpi ngeri 2018 meskipun cabaran PRU15 menanti kita.

Saya sedar bahawa setiap perjuangan mesti ada pengorbanan. Tapi saya tak jangka bahawa harga yang saya terpaksa bayar begitu tinggi sekali kepada diri saya dan keluarga saya. Dalam masa empat tahun ini saya terpaksa naik turun tangga mahkamah sebanyak lebih 300 kali. Ini tak termasuk rumah saya digeledah pada malam pertama bulan Ramadan 2018, dan diikuti kemudiannya dengan rumah bonda tersayang. Cukai yang tertinggi yang pernah dikenakan kepada mana individu di dunia dan lima kes sivil. Isteri saya pun turut didakwa dan anak-anak saya pun dikenakan cukai pendapatan tambahan.

Semuanya ini tiada asas yang rasional ataupun mengikut undang-undang cukai yang sebenarnya. Dalam kes SRC saya telah didakwa pada bulan Julai 2018. Mula-mula dihadapan Hakim Datuk Sofian, yang terpilih secara ‘random’.

Setelah kes berjalan, tiba-tiba Datuk Sofian telah diganti dengan Hakim Nazlan yang tidak ada pengalaman dalam bidang jenayah sama sekali. Seorang Hakim yang junior dari bahagian sivil dipilih untuk mendengari kes ‘high-profile’. Dari sini mulalah rentetan keputusan-keputusan yang pelik-pelik sehinggalah kepada rayuan saya di Mahkamah Persekutuan bermula pada 15 Ogos yang baru lalu.

Mutakhir ini, SPRM telah membuat siasatan terhadap Hakim Nazlan dan telah kemukakan syor mereka ke peguam negara. Pihak peguam saya telah memohon Mahkamah Persekutuan untuk dibenarkan ‘additional evidence’ ini didengari. Sekali lagi permohonan saya ditolak. Kenapa tidak mahu diketahui siasatan SPRM? Sekiranya Hakim Nazlan telah terlibat secara mendalam dalam urusan Maybank Investment dengan 1MDB dan SRC maka beliau perlulah menarik diri daripada menjadi Hakim kerana Hakim Nazlan sudah berada dalam keadaan konflik.

Sesungguhnya Mahkamah sepatutnya mencari kebenaran, bukan mencari alasan tidak nak berbuat demikian. Saya yakin jika ‘additional evidence’ dibenarkan, kes SRC akan menjadi berlainan daripada apa yang berlaku. Kemungkinan, a retrial atau mistrial boleh menjadi keputusan mahkamah. Saya minta peguam saya Tan Sri Shafee untuk menjelaskan kes SRC International dari segi perundangan. Apa yang jadi, kemusykilan, saya tidak dapat ‘fair hearing’ dan hak saya di bawah Perlembagaan Persekutuan dinafikan pada saya. Inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang perayu tidak diwakili oleh peguam.

Alasan yang diberikan oleh Ketua Hakim atas sebab teknikal yang sepatutnya tak boleh mengatasi peruntukan perlembagaan negara. Akhirnya rayuan saya ditolak. Bukan atas merit tapi atas soal teknikal. Saya tidak minta kes saya digugurkan seperti kerajaan PH yang telah menggugurkan kes Lim Guan Eng dan Rafizi serta lain-lain pemimpin.

Saya cuba tuntut keadilan dan ‘a fair trial’. Itu pun telah dinafikan kepada saya. Saya juga tidak mahu melibatkan parti dalam urusan mahkamah saya sejak mula seperti parti pembangkang. Namun, bila saya dihempap dan ditekan dengan orang-orang yang begitu yakin dan licik, saya tiada pilihan melainkan untuk memohon kepada Presiden UMNO dan semua ahli UMNO untuk bersuara dan bertindak.

Kalau perkara ini boleh berlaku kepada saya sebagai bekas presiden UMNO dan perdana menteri ianya boleh berlaku kepada sesiapa pun. Memilih untuk berdiam diri bererti mereka yang berniat jahat terhadap UMNO akan berjaya. Pada saya, UMNO perlu berjuang menentang kezaliman dan ketidakadilan. Kita sebagai parti tetap menghormati ‘the rule of law’. Tapi tonggak kepada ‘rule of law’ mestilah Hakim-Hakim yang adil tanpa dipengaruhi dengan kuasa-kuasa ghaib yang bermotif politik.

Saya tetap tidak berputus asa. Walaupun jasad saya dipenjarakan, tapi roh saya tetap kuat untuk terus berjuang mendapat keadilan pada akhirnya. Saya juga tidak akan rasa keseorangan jika tiga juta ahli UMNO bersama dengan saya menentang penganiayaan dan apa yang disebutkan sebagai ‘miscarriage of justice’. Menitis air mata tidak akan mengubah keadaan.Hanya tindakan yang berani terselaras dan bijak sahaja boleh membawa kejayaan.

Sesungguhnya saya berasa amat terharu dengan langkah Yang Berhormat Datuk Seri Zahid dan MKT untuk mengadakan pertemuan ini.

Semoga Allah akan memberikan rahmatnya dan mengizinkan kita menentang kezaliman dan penganiayaan yang keterlaluan ini. Hidup UMNO, hidup UMNO, hidup UMNO.

Najib Razak

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.