Kes Azeez Rahim Tangguh Bukan Hanya Kerana Sakit Tapi Timbalan Pendakwa Raya Pun COVID-19

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Peguam kepada Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Amer Hamzah Arshad memaklumkan bahawa keputusan permohonan bagi bekas Pengerusi Tabung Haji itu di mahkamah hari ini tertangguh bukanlah semata-mata kerana tahap kesihatan Abdul Azeez tetapi juga adalah membabitkan keuzuran daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Katanya, anak guamnya kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berikutan acute gastroenteritis di samping Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslini telah mendapat COVID-19 dan seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad berada di Melaka ekoran menerima pingat sempena ulang tahun ke-73 Yang Di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.

Berikutan itu, keputusan permohonan untuk membatalkan 13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi Abdul Azeez ditangguhkan ke 5 September depan.

Hal tersebut dimaklumkan panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Terdahulu, peguam bela Abdul Azeez, Amer Hamzah Arshad, berkata anak guamnya mengalami gastrik sejak jam 2 pagi tadi dan sedang menerima rawatan di PPUM.

Dalam hal ini beliau berkata pihaknya akan mengemukakan cuti sakit (MC) Abdul Azeez kepada mahkamah bagi mengesahkan perkara itu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.