Sumbangan Najib Tidak Akan Dilupakan, Apa Pun Rakyat Memerhati

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata jasa dan sumbangan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam arena politik tanah air tidak akan dilupakan.

Menerusi catatan di Facebooknya, beliau berharap keluarga mantan Presiden UMNO itu tabah memghadapinya.

“Jasa dan sumbangan Datuk Seri Najib selama 46 tahun di arena politik Malaysia tidak akan dilupakan.

“Boleh dibayangkan perasaan Datuk Seri Najib ketika Hakim membacakan keputusan.

“Apa pun rakyat terus memerhati, keputusan tersebut akan terus dikaji dan diulas,” katanya.

Kata Sharkar lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, beliau mula mengenali Datuk Seri Najib ketika berada di Stockton, California.

“Mula mengenali Datuk Seri Najib pada tahun 1990 di Stockton, California. Merasmikan mesyuarat Agong Kelab UMNO California. Beliau ketika itu Menteri Belia dan Sukan.

“Begitulah seterusnya hingga beliau berada di kemuncak sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Dalam mengharungi liku-liku kehidupan tidak pernah terfikir Datuk Seri Najib akan melalui saat yang sebegini. Walaupun sedih inilah realiti kehidupan. Semoga Datuk Seri Najib dan keluarga tabah menghadapinya.” ujarnya.

Media pada Selasa melaporkan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjaran serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib gagal menimbulkan keraguan munasabah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit