Rakyat Makin Yakin Kepimpinan UMNO… BN Terbaik Tadbir Negara – Rahman
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berpandangan rakyat khususnya di negeri Selangor sudah mengambil pengajaran daripada tragedi penipuan yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Katanya rakyat menyedari bahawa hanya kepimpinan daripada UMNO/Barisan Nasional (BN) yang mampu untuk mentadbir negara ini sebaiknya seperti dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada ketika ini.
“Dalam keadaan kegawatan ekonomi Perdana Menteri dari UMNO ini nampaknya berjaya menarik pelabur-pelabur dan hasilnya kita lihat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan langsung asing (FDI) meningkat.
“Pelabur-pelabur asing pun semakin yakin untuk melabur di negara ini, Ismail begitu rendah diri, tenang nampaknya berjaya mengolah situasi ekonomi negara yang daripada teruk ketika pentadbiran kerajaan dahulu sudah mula beransur-ansur pulih.
“Beliau berjaya mengurangkan inflasi di bawah empat peratus berbanding dengan negara lain malah kita juga adalah antara negara kedua terbaik di Asia Tenggara selepas Singapura jadi ini memberikan sebagai satu batu penanda aras kepada UMNO.
“Rakyat sendiri melihat bahawa UMNO bukan sahaja sebuah parti yang memberikan komitmen terbaik membantu tetapi juga cuba sedaya upaya untuk menyenangkan keadaan kehidupan rakyat di negara kita, insya-Allah,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online baru-baru ini.
Terdahulu, Ismail Sabri pada minggu lalu memaklumkan lonjakan KDNK negara sehingga 8.9 peratus pada suku kedua 2022 manakala FDI mencatatkan angka rekod tertinggi pada Suku ke-4 2021 dengan RM26.7 bilion ini disusuli pada suku pertama berjumlah RM23.3 bilion dan suku kedua 2022 berjumlah RM24.1 bilion.
Sementara itu Rahman yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor pada masa sama meluahkan kekesalan apabila melihat pengabaian dilakukan oleh kerajaan negeri membabitkan permasalahan tempatan khususnya di Sabak Bernam.
Menurut beliau ini termasuk membabitkan pengabaikan kawasan pelancongan di Bagan Nakhoda Omar, Intitut Latihan Jati Diri Selangor (ILJAS) serta penempatan penduduk.
“Bagan Nakhoda Omar ini tarikan pelancong, antara salah satu tempat yang orang tempatan datang malah hari minggu orang luar kunjungi kerana keunikan makanan yang ada di situ dan sebagainya tapi sekarang keadaanya begitu daif, dengan tandas tak terjaga, kawasan persekitaran kurang menarik.
“Kita sudah menyuarakan hasrat kepada kerajaan negeri supaya bukan sahaja majlis daerah tetapi kerajaan negeri memainkan peranan penting untuk membangun dan mengindahkan semula pantai ini.
“Begitu juga kalau kita lihat ILJAS yang sekian lama kita buat sejak pentadbiran BN dahulu malah ini adalah satu bangunan yang kita buat untuk pusat latihan dan sebagainya di Kampung Sungai Tenang tapi sekarang kita lihat seperti gajah putih
“Manakala isu perumahan RM26 hingga RM28 juta yang telah dikeluarkan tetapi hasilnya rumah-rumah yang dijanjikan di Ladang Air Manis ini tidak juga membangun sampai sekarang ia menimbulkan satu isu yang besar kerana kerajaan membelanjakan kos yang begitu banyak tetapi tidak nampak perumahan yang di bina setakat cerucuk-cerucuk besi untuk kaburi mata rakyat dan sebagainya,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib