Kembalikan UMNO/BN Menang PRU15, Rakyat Mahukan Kestabilan

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak perlu memberikan apa-apa bukti bagi menunjukkan bahawa mereka adalah satu-satunya parti yang mampu mentadbir urus negara dengan baik.

Tinjauan UMNO Online mendapati rata-rata anggota parti bersetuju bahawa hanya UMNO/BN yang dapat memberi kesenangan dan mengembalikan kestabilan kepada rakyat berbanding parti-parti yang lain.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Sembilan, Suzlaya Mahayuddin, 56, berpendapat, selama 61 tahun UMNO/BN memerintah negara, rakyat dapat hidup dalam suasana yang aman.

“UMNO/BN adalah satu-satunya parti yang telah terbukti kepimpinannya sejak dulu lagi. Selama 61 tahun mereka memerintah negara ini, kita dapat hidup dalam suasana yang aman damai serta dapat memajukan diri. Tidak ada sebarang diskriminasi untuk mendapatkan pelajaran dan pekerjaan.

“Sesiapa yang berusaha keras, sanggup memberi masa dan tenaga, mempunyai peluang untuk hidup maju di negara ini. Selama 61 tahun pemerintahan UMNO/BN, telah cukup menjadi bukti bahawa parti ini mampu memacu negara ini ke tahap yang terbaik,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah beliau, rakyat sekarang semakin bijak untuk menepis segala fitnah dan hasutan daripada Pakatan Harapan (PH), tidak seperti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

“Alhamdulilah rakyat sekarang semakin bijak. Rakyat bukan macam dulu lagi, mudah percaya dengan fitnah ataupun hasutan dan mampu menilai sama ada ianya fakta ataupun auta. Jadi, kita jangan pandang rakyat dengan sebelah mata.

“Ramai rakyat berpendidikan tinggi serta berpelajaran dan mereka sendiri, dengan sumber-sumber maklumat yang sedia ada, mereka tahu bagaimana untuk mencari maklumat yang sahih. Insya-Allah saya yakin rakyat akan bijak memilih siapa yang benar-benar ikhlas untuk membangunkan negara dan siapa yang sebenarnya mahukan kuasa atas kepentingan peribadi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO Cawangan Lingkaran Nur, Bangi, Siti Hasnah Ibrahim, 54, berkata, kita perlu memandang kebaikan yang telah ditunjukkan oleh UMNO/BN dan jangan bersikap ‘pukul rata’ kepada semua pemimpin parti.

“Rakyat perlu membuka mata dan memandang kebaikan yang telah dipaparkan selama UMNO/BN memerintah. Jangan pandang yang buruk sahaja kerana pemimpin juga manusia, sering melakukan kesilapan.

“Sebab dari dahulu lagi UMNO/BN yang memerintah. Apa-apa pun dulu semua UMNO/BN. Mungkin ada kesilapan yang pemimpin kita lakukan tapi janganlah disebabkan ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’,” katanya.

Beliau turut berharap agar para pengundi memberikan kepercayaan semula kepada UMNO/BN untuk memerintah serta turut menyelar tindakan PH yang hanya pandai memberi janji tetapi tidak menunaikannya.

“Yakinlah dengan UMNO/BN yang sekarang ini kebanyakannya dilapisi oleh ‘orang baharu’. Tetapi kena ingat, kalau tiada yang lama, tiadalah yang baharu. UMNO/BN ini tidak lokek membantu rakyat. Bantuan dan sumbangan masih berjalan meskipun mereka kalah.

“Tapi, kalau macam yang dijanjikan pemerintahan dahulu (PH), manifesto pun tidak ditunaikan. Kalau ada pun, cuma ada beberapa sahaja,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit