Kerajaan Kukuh, Stabil Diperlukan Bagi Bantu Rakyat… Bukan Janji Bulan Bintang – Ismail

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – UMNO/Barisan Nasional(BN) perlu terus mendekati serta memenangi hati rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil dan mampu membawa negara ke arah yang lebih baik, kata Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed.

Jelasnya, sekiranya rakyat mahukan pembangunan dan ingin menstabilkan negara, mereka perlu memilih kerajaan yang cemerlang dan terbukti dalam mentadbir negara.

“Itu sebab kami turun ke bawah dan kami kata sekiranya mereka mahukan pembangunan, kestabilan, rakyat hidup selesa, mereka perlu pilih kerajaan yang betul-betul mempunyai sejarah mentadbir yang terbaik. Soal kelemahan memang ada, tapi inilah yang terbaik mampu kami lakukan. Kita dah bandingkan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

“Takkanlah kita nak pilih kerajaan yang janji bulan dan bintang akhirnya menipu rakyat? Kerajaan yang katanya nak jaga rakyat, tetapi apabila mewujudkan sesuatu dasar seperti darurat dan sebagainya, akhirnya meruntuhkan ekonomi rakyat. Takkan kita nak pilih kerajaan yang begitu?

“Jadi kita harap rakyat, akar umbi jangan ada perbandingan lagi kerana UMNO/BN terbukti yang terbaik. Kita (UMNO/BN) belajar daripada kelemahan dan kesilapan kita dahulu. Kita kena akui apabila rakyat menghukum kita tapi kita bangkit kembali dan perbetulkan kesilapan. Insya-Allah kalau kita menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak, kita akan jaga rakyat sebaik mungkin. Ini harapan kita,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, beliau juga berpendapat bahawa UMNO/BN perlu bekerja dengan lebih kuat untuk mempengaruhi rakyat khususnya orang muda termasuk pengundi 18 tahun ke atas supaya melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Kita perlu bekerja lebih kuat bagi mempengaruhi orang muda kerana masih banyak lagi di kalangan mereka ini tidak sedar yang mereka sudah layak mengundi. Ini berdasarkan pengalaman saya di Pagoh dan saya lihat di N egeri Johor.

“Jadi semua parti khususnya UMNO/BN perlu lebih kuat, buat macam-macam program untuk meyakinkan orang muda ini supaya bersama dengan kita. Kita tidak boleh buat program secara umum sahaja dan kita perlu tackle tiap-tiap individu tu.

“Saya ada berjumpa dengan pelajar universiti berapa ratus orang itu hari dan saya dapat tahu, tiada mana-mana parti pun berjumpa dengan mereka. Jadi, kita nampaklah kelemahan semua parti. Mungkin ‘Undi 18’ ni perkara baharu masa tu dan mungkin banyak kerja yang perlu dibuat. Jadi, kelemahan-kelemahan ini yang kita akan cubai baiki dan sekarang pun dah macam-macam program yang kita buat,” katanya lagi.

Beliau turut menzahirkan harapan agar UMNO/BN terus meningkatkan gerak kerja serta dapat menarik orang muda untuk bersama mereka.

“Kita berharap agar kita dapat menarik masyarakat untuk bersama dengan kita khususnya orang muda. Orang muda ni ‘special’, memang keperluan mereka banyak kepada kehendak semasa. Contohnya, Pagoh ini kawasan luar bandar. Mereka mahukan ‘wifi’ percuma, kemudahan internet yang mempunyai liputan yang lebih baik. Lebih kepada benda-benda yang menyentuh keperluan individu.

“Makanya kami kena perbaiki benda-benda sebegitulah. Ini cabarannya kerana kita perlukan cara yang tertentu untuk ‘tackle’ anak-anak muda ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.