Kaitkan LCS Dengan Pemimpin UMNO Tindakan Tidak Bertanggungjawab Pas

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini membidas Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari yang cuba memberikan gambaran tidak benar berkaitan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dengan pemimpin UMNO.

Pengarah Komunikasinya, Syed Mohd Johan Rizal berkata tuduhan Ahli Parlimen Pasir Mas itu adalah tidak bertanggungjawab sedangkan dia juga turut menganggotai Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Bagi kami Pemuda UMNO Malaysia, dia sengaja mewujudkan niat jahat dan cuba menimbulkan persepsi imej tidak baik kepada UMNO seperti mana biasa yang sering Pas lakukan.

“Selaku salah seorang anggota PAC, dia sepatutnya sedar kerana dari dalam laporan sendiri tidak ada pun disebut salah guna kuasa, seleweng mahupun pengkibatan rasuah menteri dari UMNO atau mana-mana pemimpin UMNO.

“Jadi yang saya dan kita faham setakat sekarang adalah masalah pengurusan projek dan kelewatan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Kedah itu lagi, Ahmad Fadhli seharusnya bertindak secara matang menggunakan fakta dan tidak terlalu emosi dalam mengeluarkan kenyataan yang akan menjejaskan pemahaman rakyat berkenaan isu ini.

“Jangan hanya pandai menegur orang sedangkan tuduhan itu sendiri agak keterlaluan. Adakah sengaja memberi gambaran negatif seolah ada pemimpin BN terlibat salah laku dalam projek LCS?

“Sedangkan hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mula melakukan pendakwaan kepada mereka yang terlibat dengan penyelewengan dari dalam Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) endiri.

“Tolong buktikanlah sekiranya ada pemimpin UMNO terlibat dalam penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dalam projek itu dan namakanlah pemimpin berkenaan dan salah laku, sekiranya beliau adalah ahli politik gentlemen yang bercakap berdasarkan fakta,” tegas beliau.

Beliau pada masa sama turut memaklumkan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia senantiasa konsisten malah menegaskan sekiranya wujud salah laku dari mana mana pihak termasuk pemimpin maka tindakan undang undang mestilah disegerakan.

“Pemuda UMNO juga mengucapkan syabas kepada SPRM kerana hari ini telah ada dakwaan di mahkamah kepada mereka yang disyaki terlibat dalam isu LCS terbabit,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.