BN Perak Yakin Mampu Kuasai Kembali Parlimen Tambun Pada PRU15
LENGGONG, 12 Ogos – Barisan Nasional (BN) Perak menzahirkan keyakinan bahawa gabungan politik itu mampu menguasai kembali kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerusi itu sebelum ini adalah milik UMNO sebelum terlepas kepada Bersatu pada PRU14.
“Kita yakin boleh memenangi (kerusi) Parlimen Tambun kerana kita sudah buat kajian sendiri,” katanya kepada pemberita pada program Hari Bertemu Rakyat Dewan Undangan Negeri Kota Tampan di Dataran Tasik Raban di sini hari ini.
Kerusi Parlimen Tambun kini disandang oleh Timbalan Presiden Bersatu yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sedang mempertimbang cadangan untuk bertanding di kerusi itu pada PRU15.
Diminta mengulas kenyataan Anwar itu, Saarani yang juga Pengerusi UMNO negeri dan Menteri Besar Perak berkata BN sedia berdepan dengan nama-nama besar dalam pakatan pembangkang yang berhasrat bertanding di negeri itu pada PRU15.
“Sesiapa yang bertanding di Perak, kita lawan, tidak ada masalah,” katanya. – BERNAMA