Wakil Rakyat PH Hanya Jaguh Di Parlimen, Balik Kawasan Jadi ‘Orang Hilang’

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said berpandangan Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Mohamed Hanipa Maidin hanya beretorik dalam menampilkan personalitinya sebagai wakil rakyat.

Katanya, meskipun pelbagai permasalahan setempat dihadapi oleh rakyat namun ianya tidak mendapat pembelaan sewajarnya sebagaimana bencana banjir yang melanda sebahagian kawasan Sepang penghujung tahun lalu.

“Isu tempatan itu ada iaitu banjir, sampah, wakil rakyat tak turun padang, sekolah dan sebagainya malah kalau yang terbaharu banjir besar apabila Sepang antara daerah terkesan teruk akibat banjir.

“Jadi kita tengok penglibatan wakil rakyat ini bukanlah mereka tidak turun… mereka turun tetapi tidak ada sebarang bantuan yang dibawa.

“Lebih kepada pelancong bencana mereka datang, melihat tapi tidak ada sebarang bantuan susulan selepas daripada itu atau waktu jika melawat pun tidak dibawa kelengkapan-kelengkapan sepatutnya untuk bantu membersih rumah apatah lagi membantu dari segi kewangan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui UMNO Online secara eksklusif baru-baru ini.

Jelas Noorazli, beliau malah sebelum ini pernah melabel pemimpin mewakili Pakatan Harapan (PH) itu sebagai ‘orang hilang’ kerana melihatkan dirinya hanya fokus berbahas ketika persidangan Dewan Rakyat tetapi mengabaikan kebajikan rakyat yang telah memilih dirinya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Tambah beliau, ini termasuk ketika pentadbiran PH selama 22 bulan, meskipun Hanipa menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) namun tidak ada sebarang agenda pembangunan dilakukan demi manfaat rakyat.

“Kita pernah mengisytiharkan Ahli Parlimen ini antara ‘orang yang hilang’, dikehendaki memandangkan pada pemikiran dia pada masa kini adalah mewakili rakyat hanya di Parlimen dan bukannya bersama membantu di lapangan … jadi kerja-kerja yang berkaitan dengan kemasyarakatan, musibah ini bukan tugas dia.

“Dia ingat tugas dia hanya berbahas di Parlimen menyuarakan masalah tetapi tidak ada pun kebaikan dan juga pembangunan mahupun kebajikan yang dibawa turun untuk orang-orang ini.

“Kita tahu satu ketika Ahli Parlimen ini juga pernah menjadi timbalan menteri dari Sepang sepatutnya kita berbangga ada menteri tetapi tidak ada satu pun peruntukan kebajikan mahupun pembangunan yang dibawa.

“Jadi hari ini saya melihat bahawa sudah cukup kita beri peluang kepada mereka ini yang kononnya pandai buat kerja, banyak idea tetapi akhirnya mereka ini tidak lebih daripada sekadar mengambil gaji dan elaun … akhirnya mengabaikan kawasan yang mereka wakili,” ujar beliau.

Menurut beliau, rakyat secara keseluruhannya juga meluahkan untuk tidak sabar menunggu PRU-15 bagi ‘menghukum’ wakil rakyat termasuk kepemimpinan PH di peringkat negeri yang tidak amanah dalam menjalankan tugas.

“Kalau diikutkan begitu banyak isu lokal tapi kali ini apa yang boleh simpulkan rakyat di Parlimen Sepang ini lebih kepada memendam dan tidak sabar untuk menunggu PRU kerana mereka telah membuat keputusan.

“Sebab ada wakil rakyat contohnya Parlimen Sepang itu sendiri sudah dua penggal tetapi tidak ada penambahbaikan yang dibuat di Sepang, begitu juga di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sudah tiga penggal negeri Selangor ini di bawah PH tetapi Sepang masih lagi dalam keadaan yang seperti itu juga… tiada peningkatan-peningkatan ketara dibuat di peringkat Parlimen,” katanya.

Hanipa pada PRU-14 lalu mengekalkan kerusinya sejak 2013 hingga kini apabila menang dalam pertandingan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Marsum Paing dan Pas, Sabirin Marsono.

Untuk rekod, Hanipa pada PRU-11 bertanding di Batu Pahat sebelum ke Tanjung Karang pada PRU-12. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit