Biarpun Pagoh Tempat ‘Abah’ Banyak Perkara Tak Selesai, UMNO/BN Juarai Rakyat

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – UMNO/Barisan Nasional (BN) sentiasa menjuarai dalam menangani isu-isu rakyat dari segi pembangunan, ekonomi dan sebagainya ketika memerintah termasuklah ketika menjadi pembangkang.

Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata, apabila mereka kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu, banyak perkara UMNO/BN usahakan sebelum ini tertinggal begitu sahaja, biarpun pemimpin tertinggi dalam Pakatan Harapan (PH) dari kawasan terbabit.

“Di Pagoh, sewaktu BN memerintah, kami cuba sebaik mungkin mengurus tadbir dari segi pembangunan dan sebagainya. Banyak isu tempatan yang berjaya kita tangani. Selepas kalah, sudah tiada wakil daripada BN dalam Pagoh. Beberapa perkara yang telah kita usahakan, banyak tertinggal.

“Walaupun mereka sebelum ini pernah bersama dengan kita, Tan Sri Muhyiddin tu sendirilah. Tetapi saya melihat sewaktu dia menjadi perdana menteri, tidak banyak perkara yang dapat dia selesaikan kerana isunya team dan juga UMNO/BN itu sebenarnya berada di semua pelusuk tempat. Jadi, semua perkara yang dapat rakyat bangkitkan, hanya kita dapat laksanakan.

“Dalam masa setahun lebih dia jadi perdana menteri, tak nampak banyak perkara yang dapat dia usahakan, kecuali perkara yang pernah dibangkitkan UMNO/BN, itu yang diteruskan. Contohnya seperti isu perumahan. Ada beberapa projek yang saya telah usahakan semasa saya menjadi wakil rakyat. Bila kalah, projek tu tergantung,” katanya kepada UMNO Online.

Sehubungan itu, beliau yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang menasihati rakyat agar tidak terpedaya dengan taktik Perikatan Nasional (PN) membeli undi semasa pilihan raya dan berharap mereka memilih parti yang memfokuskan kepada memberi khidmat.

“Kami tidak akan sesekali membeli undi macam PN. Ini yang sebenarnya berlaku di Pagoh. Pengundi dibayar sebelum mengundi. Itu yang menyebabkan kita kalah itu hari, salah satu faktornya adalah disebabkan duit.

“UMNO/BN tak buat kerja-kerja macam tu sebab fokus kita adalah memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Kita tidak menyangka ‘orang’ yang sudah berada di Pagoh selama berpenggal-penggal menggunakan strategi sebegitu untuk mempengaruhi pengundi.

“Apabila menang, akhirnya dia tidak boleh buat apa-apa kerana parti dia bukan dalam kerajaan persekutuan. Masyarakat Pagoh akan tertinggal. Pengundi di Pagoh perlu lihat perkara ni. Jangan pilih wakil rakyat yang hanya membeli undi waktu pilihan raya,” katanya.

Menurut Ismail lagi, UMNO/BN tetap terus bekerja dan menyantuni rakyat meskipun mereka kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.

“Walaupun kami kalah di satu DUN (Bukit Kepong), kami akan bekerja, terus santuni rakyat. Insya-Allah dengan cara demikian, masyarakat Pagoh akan menilai parti mana yang terbaik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

“Bukan menang kerana faktor tertentu, seperti memberi duit semasa hari mengundi dan sebagainya. Selepas itu, bila menang ditinggalkan. Kami tak mahu macam tu.

“Kami nak biarlah UMNO/BN terus berkhidmat sepanjang masa. Itulah UMNO, sebuah parti yang membela rakyat selain daripada kita memperjuangkan soal dasar, kita juga membela rakyat tidak kiralah orang susah mahupun orang yang memerlukan bantuan. Usaha tersebutlah yang akan kami teruskan,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit