Akar Umbi Kekuatan Parti, UMNO Cawangan Terus Dihargai – Rizalman

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Dalam usaha melancarkan kesiapsiagaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang di samping merealisasikan Mesyuarat UMNO di peringkat Cawangan yang akan bermula 15 Ogos ini, UMNO Bahagian Bandar Tun Razak mengambil langkah awal dengan memperkemas jentera empat peringkat di akar umbi.

Ketua, Datuk Rizalman Mokhtar berkata usaha tersebut adalah sebagai salah satu pendekatan serta langkah yang sentiasa diaplikasi dengan disusun serta dikemaskini dalam usaha memastikan ianya berjalan lancar.

“Semalam berlangsung taklimat diperingkat cawangan yang melibatkan empat peringkat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (pru) ke-15 dan juga persiapan untuk mengadakan mesyuarat tahunan cawangan-cawangan yang akan bermula dari 15 Ogos – 18 September nanti,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Dilaporkan, Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) menerusi mesyuaratnya baru-baru ini telah menetapkan mesyuarat di peringkat Cawangan akan bermula pada 15 Ogos sehingga 15 September manakala di peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan seluruh negara pada 7 sehingga 9 Oktober.

Mesyuarat di peringkat bahagian pula ditetapkan pada 14 sehingga 16 Oktober dan Perhimpunan Agung UMNO 2022 pula pada 23 sehingga 26 November.

Tambah Rizalman lagi, parti seharusnya berbangga dan perlu menzahirkan penghargaan kepada akar umbi yang sentias bertungkus-lumus dalam usaha memastikan UMNO terus kekal untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

“UMNO perlu berterima kasih kepada pimpinan akar umbi kerana mereka kekal mempertahankan institusi walaupun pelbagai isu yang berbangkit di peringkat nasional. Mereka tidak mendapat keuntungan tetapi mereka kekal bertahan kerana sayangkan UMNO. Terlalu banyak jasa mereka kepada UMNO,” ujarnya lagi.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit