UMNO/BN Fokus Depani PRU, Elak Kerencatan Pengurusan Untuk Pentadbiran – Samsolbari

 

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Motivasi UMNO/Barisan Nasional (BN) Johor dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 adalah untuk memastikan tidak ada kerencatan daripada segi pemerintahan, pengurusan dan juga pentadbiran di negeri tersebut.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang merangkap Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali, meskipun UMNO/BN telah menawan negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, tidak semestinya mereka harus ‘berlenggang kangkung’ dan bersikap sambil lewa berhadapan PRU yang semakin hampir.

“Saya nyatakan disini bahawa kita sudah memerintah dan mentadbir negeri ini. Maka, kita tidak mahu ada kerencatan disebabkan kita kalah di peringkat pusat. Kita merasakan bahawa sangat penting untuk berjaya mempunyai kerajaan di peringkat negeri dan pusat.

“Ini akan menjadi salah satu faktor yang melipatgandakan lagi keberkesanan kerajaan khususnya dari segi memberi perkhidmatan kepada rakyat di akar umbi. Makanya, kita tidak boleh membiarkan PRU ke-15 ini begitu sahaja. Sebagaimana saya nyatakan, motivasi kita adalah untuk memastikan kerajaan negeri dan kerajaan pusat ditadbir oleh BN,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata, mereka harus membuktikan bahawa kesemua 40 kerusi yang disandang oleh UMNO/BN pada PRN lalu adalah pilihan rakyat yang terbaik.

“Pada masa yang sama kita juga harus membuktikan bahawa 40 DUN yang telah dimenangi UMNO/BN ini harus menggambarkan pilihan yang terbaik serta kehadirannya dirasai oleh rakyat. Saya yakin, melihat pada apa yang telah ditunjukkan, mereka menjalankan tugas dengan baik.

“Sewajarnya rakyat di Johor tidak perlu khuatir dan bimbang untuk terus memberikan kepercayaan kepada calon-calon BN di kesemua 26 kerusi parlimen ini. Saya tidak berani untuk menyatakan bahawa kita akan menang di 26 kerusi secara keseluruhannya, tetapi pada masa yang sama, kita akan menawarkan yang terbaik untuk 26 parlimen ini,” katanya lagi.

Tambah Samsolbari, kerajaan UMNO/BN di Johor pada waktu ini lebih menumpukan kepada mengurus kejayaan mereka menawan negeri tersebut serta memastikan rakyat tidak merasa terkilan memilih BN.

“Kami di Johor lebih menumpukan kepada mengurus kejayaan. Apakah kejayaan kita? Kejayaan kita adalah menang di PRN Johor pada awal tahun ini. Ini menjadi satu tugasan, amanah, yang telah diberikan oleh rakyat, serta mandat untuk kita laksanakan secara terbaik. Kita tidak menoleh ke belakang dan membuang masa. Kita mengambil kesempatan serta masa yang ada ini untuk melaksanakan amanah yang diberikan.

“Tumpuan kita adalah untuk memastikan rakyat tidak terkilan memilih BN. Malahan kita bersyukur kerana rakyat telah menganugerahkan kita dengan izin Allah, 40 kerusi untuk Dewan Undangan Negeri (DUN). Lebih daripada dua per tiga. Itu adalah satu mesej yang besar daripada rakyat dan ianya harus dilihat sebagai satu amanah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, adalah penting untuk rakyat Johor merasai kehadiran BN sebagai kerajaan negeri bagi melangkah ke Putrajaya pada PRU yang akan datang.

“Selain daripada kita bekerja kehadapan agar ada rasa keselesaan dan kehadiran BN sebagai kerajaan negeri Johor itu dapat dirasai oleh semua golongan rakyat yang ada. Sebab itu kita di Johor, saya berani nyatakan bahawa kita dah menang PRN. Apa yang kita hadapi sekarang adalah untuk menang PRU yang akan datang,” katanya lagi.

Pada PRN Johor ke-15 yang lalu, BN telah merampas kembali negeri tersebut daripada jajahan Pakatan Harapan (PH) dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan sekali gus membuktikan bahawa rakyat menginginkan kestabilan dalam pemerintahan kerajaan negeri. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit