Kerajaan Dap P. Pinang Abai Kebajikan, Masa Depan Rakyat – Shah Headan

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berpandangan kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Dap tidak cakna dengan kebajikan dan masa depan rakyat.

Katanya ini kerana mereka hanya fokus dalam agenda berorientasikan perniagaan semata-mata tanpa merangka agenda kemajuan bagi jangka masa panjang yang berpeluang memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

“Saya nampak kerajaan negeri Pulau Pinang ini lead by businessman and proposal jadi dia tidak ada idea contoh pembinaan tiga pulau buatan yang dibuat itu adalah berorientasikan perniagaan.

“Mereka tidak ada perancangan jangka masa panjang yang konkrit seperti mewujudkan zon perdagangan bebas (FTZ) baharu tapi tidak ada sedangkan yang ada sekarang menjadi punca pendapatan negeri Pulau Pinang ini adalah daripada Barisan Nasional (BN) dahulu lagi iaitu 1974.

“Sekarang ini kena ada yang baharu tapi mereka tidak mampu melakukannya kerana selama ini mereka dipengaruhi ideologi perniagaan iaitu korporat kapitalis yang orientasikan keuntungan. Ini adalah kegagalan utama kerajaan negeri yang ada sekarang ini sebab tidak ada perancangan masa hadapan untuk pastikan negeri ini utama dalam pelaburan seperti dahulu,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online.

Shah Headan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang berkata rakyat negeri ini terhimpit dengan pelbagai masalah namun tiada tindakan tuntas yang dilakukan mereka.

Jelas beliau ini termasuk dengan kesulitan yang dihadapi rakyat untuk memiliki rumah sendiri akibat harga di pasaran yang tidak menentu.

“Kerajaan negeri dengan pembinaan tiga pulau buatan, masalah peniaga kecil yang tidak diselesaikan, harga rumah mahal, masalah jalan-jalan negeri, kebersihan longkang, taraf hidup, peluang pekerjaan dan lain-lain.

“Sehinggakan rakyat Melayu, Cina, India tidak mampu beli rumah saya pun tidak tahu justifikasi harga rumah yang dibuat oleh kerajaan negeri ini tiba-tiba dengar (RM) satu juta kemudian dua juta.

“Sedangkan kena lihat kepada pendapatan rakyat. Saya tidak rasa mereka mempunyai penyelidikan dan pembangunan untuk kiraan harga yang patut ditawarkan kepada rakyat Pulau Pinang,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit