Tiada Keperluan Jawatan TPM… Lebih Baik Fokus Pada Ekonomi Rakyat – Jamal

PAPAR, 3 Ogos – Untuk apa desak jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam keadaan rakyat masih bergelut dengan keperluan harian?

Demikian persoalan yang dilontarkan oleh Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi berikutan laporan media mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri membincangkan isu lantikan jawatan baharu termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Melantik Timbalan Perdana Menteri dalam keadaan hari ini tiada keperluan dan suatu pembaziran. Pelantikan ini tidak wajar dibuat dan tidak akan memberikan apa-apa kebaikan kepada negara,” tegasnya kepada UMNO-Online.

Ujar Jamal, jika soal janji berkaitan jawatan TPM benar ada dan perlu ditunaikan, mengapa pula janji-janji lain tidak pernah diendahkan oleh PPBM semasa mereka menjadi kerajaan sebelum ini.

“Jawatan TPM untuk apa… untuk pangkat, kuasa dan kedudukan sedangkan PPBM sendiri sudah mempunyai beberapa barisan dalam menteri kabinet, malah Muhyiddin sendiri adalah Pengerusi Majlis Pemulihan Negara yang sewajarnya proaktif terhadap ekonomi dan kedudukan rakyat hari ini.

“Malangnya, kuasa dan kedudukan juga yang minta ditunaikan walhal janji-janji ketika menjadi teraju kerajaan sama ada semasa dalam Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tidak pula ditunaikan,” bidasnya.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat untuk menghakimi dan menilai sendiri bagaimana tingkah kepimpinan PPBM.

“Bukankah lebih elok jika kita sama-sama berganding bahu dalam Keluarga Malaysia membantu kerajaan yang ada bagi menangani pelbagai krisis sama ada politik, ekonomi, sosial termasuk pekerjaan dan pendidikan terkini.

“Malangnya, tingkah PPBM hanya pentingkan kuasa sedangkan nasib rakyat tidak diendahkan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit