Pembangkang Sering Guna Sentimen, Emosi Tarik Sokongan Rakyat – Azlan

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Seri Azlan Man berpandangan pembangkang sering memainkan sentimen dan emosi untuk menarik sokongan rakyat kepada mereka.

Katanya, disebabkan itu UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu memainkan peranan yang lebih ofensif dalam menangkis serangan atau helah politik dengan mendedahkan kembali kelemahan dan kesilapan yang dilakukan mereka.

“Kecaman memang sedap sebab rakyat boleh dimainkan sentimen dan emosinya dan kerana itu pada saya BN dalam hal ini tidak hanya boleh sekadar untuk memberikan penerangan.

“Kita mesti ada satu strategi lain yang bersifat ‘offensive’ dan mendedahkan apakah kelemahan-kelemahan yang ada pada pihak pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online.

Menteri Besar Perlis itu juga menambah PH misalnya sepanjang 22 bulan mentadbir melakukan pelbagai perkara sehingga negara hampir muflis disebabkan nilai hutang yang meningkat mendadak.

Tambah beliau, PH juga membuat lelongan secara besar-besaran atas aset-aset milik negara yang amat memberi kesan terutamanya pada orang Melayu iaitu Tabung Haji.

“Ada juga yang menuduh mengatakan BN ini ada banyak kluster mahkamah tetapi pada masa yang sama mereka juga mempunyai ramai kluster mahkamah tetapi disebabkan berkuasa PH menggunakan Peguam Negara untuk menggugurkan kes-kes ini.

“Ini adalah merupakan suatu yang harus didedahkan yang kita boleh bersifat ‘offensive’ agar rakyat dapat melihat sendiri sebenarnya apa yang terjadi. Ini mesti dimainkan sepanjang masa supaya rakyat nampak bahawa PH sebenarnya tidaklah nampak bersih tanpa apa-apa masalah sedangkan lebih banyak daripada BN.

“Itu sebab saya katakan BN bukannya sempurna masih ada kelemahan-kelemahan tapi ianya tidak sebanyak yang ada pada PH itu sendiri terutamanya ketika mereka memerintah malaysia selama 22 bulan,” ujar beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar.

Sementara itu Azlan pada masa berpandangan PKR tidak mempunyai pengaruh yang kuat termasuk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu namun kemenangan mereka adalah disebabkan menanam kebencian pada BN.

Katanya sentimen dimainkan itu menyebabkan Parlimen Kangar terlepas kepada PKR walhal wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat itu sering kali hilang daripada radar penglihatan rakyat selepas kemenangan dirinya.

“Mood ketika itu berbeza sebab rakyat telah pun menanam dalam fikiran mereka bahawa kali ini tidak boleh dah BN, harus ada parti alternatif malah kita tahu bahawa wakil rakyat PKR ini langsung tak nampak muka jarang nak jumpa apabila ada majlis baru la timbul, pilihan raya baru nampak muka.

“Rakyat sebenarnya boleh membuat penilaian sebab itu saya katakan bahawa mereka tidak mempunyai akar umbi yang kuat seperti mana yang ada pada UMNO/BN tapi ketika itu isu yang dimainkan pembangkang telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat.

“Sehinggakan mereka telah membuat pilihan sebelum PRU-14 diadakan jadi apa pun usaha yang dilakukan untuk memenangi pilihan raya itu sebenarnya tidak begitu berkesan sebab rakyat telah membuat keputusan lebih awal,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit