Rizab Kedah RM600 juta? Data Menteri Besar Tidak Lengkap – Shaiful Hazizy

1. Baru-baru ini Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Kedah mendabik dada bahawa rizab simpanan negeri Kedah berada pada kedudukan tertinggi di bawah pentadbirannya dengan nilai RM600 juta.

2. Menurut YAB Menteri Besar Kedah lagi, jumlah itu adalah satu lonjakan besar berbanding hanya RM40 juta semasa pentadbiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

3. Saya mengambil kesempatan untuk merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara (Negeri Kedah) berkenaan Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri dari tahun 2016 hingga 2020. Rekod tersebut menunjukkan bahawa angka RM40 juta yang dirujuk oleh Menteri Besar Kedah sebenarnya adalah rizab pada tahun 2015 (jumlah tepat RM43.41 juta).

4. Rizab pada tahun-tahun seterusnya adalah RM70.69 juta (2016), RM153.92 juta (2017), RM74.57 (2018) dan RM320.48 (2019).

5. Jumlah di bawah pentadbiran YAB Menteri Besar sekarang dari Pas bermula pada tahun 2020 dengan kutipan sebanyak RM357.08 juta. Iaitu peningkatan kutipan hanya sekitar RM37 juta jika hendak dibandingkan dengan tahun 2019.

6. Saya bukanlah peminat Datuk Seri Mukhriz. Malah, saya mengakui, pada zaman beliau berlaku penguncupan dan penurunan rizab yang sangat ketara. Misalnya, baki Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri menurun sebanyak RM104.83 juta atau bersamaan 70.7% daripada RM148.24 juta pada tahun 2014 menjadi hanya RM43.41 juta pada tahun 2015.

7. Tetapi saya percaya, rujukan yang lebih sesuai dan adil adalah pada tahun 2019 iaitu sebelum Pas mengambil alih. Pada masa tersebut, rizab negeri Kedah adalah RM329.48 juta. Jumlah inilah yang ditinggalkan kepada Kerajaan Negeri yang baharu pada tahun 2020.

8. Saya tidak pasti apakah tujuan dan niat YAB Menteri Besar merujuk kepada kutipan 2015 yang merekodkan kutipan hampir 10 kali ganda lebih kecil berbanding kutipan terakhir pada tahun 2019.

9. Pada saya, hanya ada dua sebab dan kebarangkalian.

10. Pertama, YAB Menteri Besar sekarang sekadar mahu memburuk-burukkan pencapaian kerajaan negeri sebelumnya dengan memetik kutipan terendah sebagai titik rujukan. Kedua, beliau mahu menunjukkan bahawa beliaulah yang lebih baik. Apa yang peribahasa kita sebut sebagai masuk bakul angkat sendiri.

11. Saya mempunyai beberapa pertanyaan kepada YAB Menteri Besar Kedah.

12. Pertama, apakah sebenarnya bentuk-bentuk pendapatan yang dikira sebagai rizab negeri Kedah? Wujud kekhuatiran sekiranya Kerajaan Negeri sebenarnya mengambil pendekatan pukul rata dan memasukkan segala bentuk pelaburan dan aktiviti ekonomi di Kedah sebagai rizab negeri. Maka, tidak pelik jika berlaku lonjakan tersebut.

13. Kedua, kongsikan dengan masyarakat, apakah sektor atau faktor yang menyumbang kepada lonjakan besar kutipan ini.

14. Perkara ini penting kerana, sekiranya lonjakan besar itu adalah disebabkan oleh pembalakan besar-besaran, penjualan tanah negeri atau aktiviti ekonomi yang tidak mesra alam, ia bukanlah jalan sesuatu yang elok untuk diteruskan oleh Kerajaan Negeri. Masyarakat berhak untuk mengetahuinya. Apatah lagi dalam keadaan yang menyaksikan banyak aktiviti ekonomi yang telah memusnahkan alam sekitar berlaku di Kedah.

15. Ketiga, adalah tidak membawa apa-apa makna untuk Kerajaan Negeri Kedah merekodkan rizab yang tinggi sekiranya semua itu tidak disalurkan untuk manfaat dan kebaikan rakyat.

16. Jadi, adalah molek sekiranya Kerajaan Negeri Kedah, tatkala merekodkan rizab tertinggi ini, membentangkan dengan terperinci agenda kebajikan dan pembangunan yang jauh lebih baik. Bukan sekadar dengan idea mahu menjadikan Kedah pengeksport ketum.

17. Apa-apa pun, jika benar seperti yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar, saya merakamkan tahniah atas kejayaan yang dicanangkan tersebut. – UMNO ONLINE

Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.